Tempat Masak Menjijikkan

KLANG – Pekerja-pekerja premis makanan sekitar Bukit Tinggi dikesan melakukan kerja memotong dan membasuh sayur atas simen berdekatan longkang di bahagian belakang premis masing-masing.
.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, ramai pekerja restoran menjalankan kerja di lorong belakang yang menjadi laluan kenderaan sekitar jam 4 petang.

Jalan yang menjadi laluan kenderaan tidak dapat digunakan kerana ada pengusaha premis turut meletakkan peralatan memasak.

Sekitar kawasan kelihatan kotor dengan sisa sayuran dibuang di atas jalan hingga berlaku lambakan sampah.

Pengadu yang enggan dikenali akui terkejut melihat persekitaran penyediaan makanan yang menjijikkan bagi salah sebuah restoran yang kerap dikunjunginya bersama keluarga.

“Selama ini saya tidak tahu. Kita dalam restoran menjamu selera tanpa terfikir kebersihan sewaktu mereka sediakan makanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia menyedari keadaan itu ketika melintas lorong belakang premis untuk mengambil kenderaan yang diletakkan tidak jauh dari situ.

“Saya amat terkejut tengok sayur diletakkan atas lantai. Bau longkang yang tersumbat dan kawasan yang penuh sampah memang mual. Sejak itu saya dan keluarga tak datang lagi,” katanya.

Dia meminta pihak berkuasa memantau premis-premis makanan yang sambil lewa dalam hal pengurusan dan penyediaan tanpa mengambil kira tahap kebersihan.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tempat-masak-menjijikkan-1.297084

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.