Penoreh Getah Mati Ditikam

GUA MUSANG – Seorang penoreh getah mati selepas ditikam di perut dan dipukul dengan benda keras di kepala oleh seorang suspek lelaki yang dikenalinya di rumahnya di Kampung Jerek Luark, Bertam dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Isa Hamat, 64, meninggal dunia kira-kira jam 7.15 malam kelmarin selepas 10 jam menerima rawatan kecemasan di Hospital Gua Musang (HGM) kerana kecederaan parah di kepala dan kesan tikaman di dadanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa berada bersama suspek yang berusia 36 tahun dalam rumahnya dan kejadian itu disedari jiran berdekatan.

Menurutnya, jiran berkenaan terus bergegas ke tempat kejadian melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum dikejarkan ke HGM untuk menerima rawatan.

“Hasil daripada kejadian itu, kita menahan suspek tersebut yang rapat dengan mangsa untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita juga belum mengetahui punca kejadian,” katanya.

Isteri mangsa, Che Eshah Hamid, 58, ketika ditemui di rumahnya berkata, ketika kejadian dia baru tiba di rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari situ sebelum bergegas pulang semula sebaik menerima berita berkenaan.

Che Eshah berkata, sebaik tiba di rumah keadaan suaminya  berlumuran darah, sejurus selepas itu menantunya terus bergegas menghantar mangsa ke HGM untuk menerima rawatan.

“Saya seperti tidak percaya kejadian itu berlaku kerana arwah suami menganggap suspek sebagai anak angkat kerana kerap berada di rumah setiap hari dan hairan juga kenapa perkara itu boleh berlaku.

“Rasa gementar  melihat keadaan kecederaan suami yang berlumuran darah. Sebilah pisau juga ditemui, ia  diletakkan di bawah badan suami yang terlentang,” katanya kepada Sinar Harian.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penoreh-getah-mati-ditikam-1.297016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.