Peneroka Felda terima bayaran dividen FGV RM72.9 juta

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), kepada peneroka Felda berjumlah RM72.9 juta.

112,635 warga peneroka seluruh negara akan menerima imbuhan sebanyak RM647.78 sen seorang bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga peneroka di Pejabat Felda Wilayah Terengganu ketika berucap turut mengumumkan pemberian duit raya kepada peneroka Felda dengan jumlah keselurahan sebanyak RM30.5 juta.

Najib berkata pemberian ini sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda dan membantu perbelanjaan persiapan Hari Raya mereka.

“Kita juga menyerahkan duit raya sebanyak RM300 bagi setiap keluarga peneroka bagi meringankan lagi beban kewangan peneroka dan keluarga mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Harlina Zakaria, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari serta Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Di majlis itu juga, Najib turut menyerahkan zakat perniagaan bagi pihak Kumpulan Felda berjumlah RM22.02 juta.

Katanya, jumlah bayaran zakat tersebut bersempena keuntungan FGV yang dicatatkan pada tahun kewangan 2013 iaitu sebanyak RM8.6 juta, Koperasi Permodalan Felda (KPF) RM12.8 Juta, Felda D’Saji RM321,200 dan koperasi kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP) RM297,985.97.

Zakat perniagaan ini dibayar kepada 14 Pusat Zakat Negeri iaitu bagi negeri-negeri di mana kumpulan Felda menjalankan operasi perniagaannya.

Sementara itu bersempena majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 6,000 orang, kumpulan Felda turut memberikan sumbangan amal dan saguhati kepada masjid Felda yang melibatkan jumlah sebanyak RM927,500 yang akan diagihkan kepada Pengerusi Masjid, Imam, Bilal dan Siak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.