Mangsa Beruang Buta Sebelah Mata

HULU BESUT – Bagi mangsa serangan beruang pada 22 April lalu, kedatangan Aidifitri tahun ini suram selepas sebelah matanya buta akibat gigitan haiwan buas itu.

Lebih malang, Mohd Sulaiman Jusoh, 58, kini tidak mampu lagi melakukan pekerjaan berat menyebabkan dia tidak dapat menyediakan keperluan hari raya nanti.

Dia hilang pancaindera sebelah kiri selepas bahagian tersebut dibaham seekor beruang jantan dalam kejadian jam 9.30 pagi ketika dia mencari buah kerdas di hutan simpan Gunung Tebu dekat Felda Tenang, di sini.

Menurutnya, kekurangan itu sedikit sebanyak menjejaskan semangatnya untuk menyambut hari raya, tambahan pula dia turut mengalami masalah pendengaran sebelah kiri.

“Saya terlantar lapan hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas kepala dan muka saya dibaham sehingga berada di dalam mulut beruang itu.

“Saya amat sedih apabila mata saya tidak dapat melihat lagi dan pandangan saya dengan mata kiri memang gelap-gelita,” katanya yang ditemui di rumahnya di Felda Tenang, di sini, semalam.

Bagaimanapun, kata Mohd Sulaiman, dia tetap bersyukur kerana masih bernyawa dan sebelah lagi matanya masih mampu melihat.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung harap kepada isterinya, Rokiah Abas yang menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan dan dengan pendapatan itulah dia menyara tiga anaknya yang masih bersekolah dalam tahun tiga, enam dan seorang belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Katanya lagi, selepas kejadian itu, dia tidak dapat tidur selama dua bulan kerana setiap kali hendak melelapkan mata, bayangan lembaga seperti beruang datang.

“Selain menanggung sakit, saya juga seperti tidak bertenaga kerana tidak dapat tidur. Namun selepas membuat rawatan alternatif, saya kini kembali pulih,” katanya.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Mohd Sulaiman memohon bantuan OKU, namun masih belum mendapat keputusan.

Menurutnya, dia turut memohon bantuan tabung serangan haiwan buas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sinar Harian pada 13 April lalu menyiarkan kisah Mohd Sulaiman yang parah selepas diserang seekor beruang ketika mencari buah kerdas di hutan berkenaan.

Kata Mohd Sulaiman, dia terserempak dengan pasangan beruang bersama seekor anak yang masih kecil ketika berada di dalam hutan tersebut.

Dia kemudiannya menyergah beruang tersebut dengan tujuan menghalaunya, namun beruang jantan bertindak menyerangnya dan dia hanya dilepaskan selepas berpura-pura mati.

Kejadian itu menyebabkan dia menerima lebih 20 jahitan di bahagian kening apabila bahagian tersebut cedera parah dan tulang kening juga patah.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/mangsa-beruang-buta-sebelah-mata-1.296751

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.