Blog Siar Seruan Jihad Di Syria, Iraq Dipantau

HULU TERENGGANU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang memantau pengendali laman web dan blog yang membuat tawaran kepada rakyat Malaysia untuk menjadi tentera pejuang jihad di Syria dan Iraq.
   
Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari berkata, kementerian sedar semakin banyak laman web dan blog yang menyiarkan tawaran itu sejak kebelakangan ini dengan pelbagai fakta yang mengelirukan rakyat Malaysia.
   
“Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi penyiasatan untuk kes ini termasuk Polis Diraja Malaysia.
   
“Biasanya, SKMM akan bantu dari segi forensik sekiranya diminta PDRM kerana mengikut perundangan, perkara ini adalah di bawah bidang kuasa polis kerana ia adalah kesalahan jenayah,” katanya.
   
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas susulan kejatuhan harga getah, kepada 300 pekebun kecil dan penoreh di daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Anggota Parlimen Hulu Terengganu itu menasihatkan orang ramai agar sentiasa merujuk kepada agensi berkaitan seperti PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan SKMM sekiranya menemui sebarang fakta yang diragui kesahihannya dalam mana-mana laman web dan blog.
   
“Seperti laman web yang menawarkan peluang kononnya menjadi tentera di Syria dan Iraq, ini jelas adalah sesuatu yang tidak betul (melanggar undang-undang di negara asing).
   
“Jangan mudah tertarik dengan sebarang tawaran yang tidak pasti ini…memang ada pihak-pihak tertentu yang cuba menyiarkan berita atau spekulasi seperti ini untuk menjadi popular,” katanya.  
   
Baru-baru ini Wisma Putra mendedahkan terdapat dakwaan seramai 15 rakyat Malaysia yang terbabit dalam keganasan dan aktiviti jihad dengan kumpulan militan ISIL telah terbunuh di Syria.
   
Dakwaan itu dilapor dibuat oleh seorang pegawai Syria yang berpusat di New York pada sidang media 18 Jun.
   
Beliau turut mendakwa selain rakyat Malaysia, rakyat dari negara lain termasuk beberapa negara Asean juga terlibat di Syria. 

Pada majlis itu, setiap seorang menerima bantuan RM500 daripada RISDA.
   
Penoreh getah Harun @ Maidin Omar, 62, berkata, “Dengan duit ini, dapatlah pak cik membeli sedikit barangan keperluan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi”.
   
Harun mengambil upah menoreh sejak 30 tahun lalu selain melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara lima anaknya.
   
Mustafa Rashid, 52, dari Kampung Binjai Kertas di sini berkata kejatuhan harga komoditi itu sangat dirasakan sejak 2012 kerana pendapatannya merosot hampir 70 peratus.
   
“Dulu, ketika harga getah naik dan stabil sekitar tahun 2010, saya pernah mendapat sebanyak RM2,000 seminggu untuk enam ekar kebun getah milik peninggalan arwah ayah saya.
   
“Tetapi sekarang ini…sebulan saya dapat dalam lingkungan RM500 sahaja,” katanya yang mengupah dua orang penoreh getah di kebunnya.
   
Zaliha Yusof, 55, dari Felda Tersat dekat sini berkata, dia akan menggunakan wang itu untuk membeli barangan keperluan dapur bagi kegunaan sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
   
Turut menghadiri majlis, Pengarah RISDA negeri, Rusly Yaacob. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/blog-siar-seruan-jihad-di-syria-iraq-dipantau-1.297229

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.