Ahmad Razif Berada Pada Landasan Tepat – PM

KUALA TERENGGANU 6 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pentadbiran negeri yang dicorak oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berada pada landasan tepat sebagaimana yang diharapkan.

Menurut Perdana Menteri, dalam tempoh yang singkat setelah mengambil alih teraju kepimpinan, Ahmad Razif telah berusaha menterjemahkan aspek perpaduan, kesinambungan dan pembaharuan.

“Saya lihat semua berjalan dengan baik, saya tekankan soal perpaduan dan juga kesinambungan. Maknanya apa yang baik, yang dilakukan oleh pentadbiran dahulu kita teruskan.

“Di samping itu, saya percaya Datuk Ahmad Razif akan lakukan pembaharuan dan penambahbaikan,” katanya yang turut merujuk pendekatan pentadbiran Ahmad Razif yang bertemakan Transformasi Terengganu Baharu sebagai sokongan kepada program transformasi nasional.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya penilaiannya terhadap Ahmad Razif yang memikul tanggungjawab menggantikan Datuk Seri Ahmad Said bermula 12 Mei lalu selain mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Terdahulu, dalam lawatan kerja pertamanya ke negeri ini setelah peralihan kepimpinan, Najib turut mendengar taklimat pembangunan negeri di Wisma Darul Iman di sini petang ini.

Selain Ahmad Razif, yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Datuk Seri Jamaluddin Mohd. Jarjis, wakil-wakil rakyat dan para pegawai kanan negeri.

Perdana Menteri menarik perhatian, pada umumnya beliau berpuas hati dengan apa yang telah dicapai oleh kerajaan negeri dan percaya Menteri Besar dan kerajaan negeri akan memperhebat pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan.

Sementara itu, Najib berkata, Terengganu merupakan negeri ketiga selepas Perak dan Kedah yang beliau ikuti taklimat pembangunannya untuk dipertimbang segala keperluan berasaskan kemampuan Kerajaan Pusat.

“Saya telah diberi taklimat mengenai pencapaian pembangunan di negeri ini dan juga apakah keutamaan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri bagi pertimbangan Kerajaan Pusat khususnya dalam konteks kita menggubal Rancangan Malaysia Ke-11 nanti.

“Fokusnya, saya akan melihat kehendak oleh kerajaan negeri itu dulu. Macam di Terengganu, penekanan ialah projek pencegahan banjir yang mereka rasakan perlu diberi keutamaan dan beberapa projek kemudahan asas.

“Saya juga tekankan perlu diperhebat projek-projek untuk membolehkan negeri dan rakyat menjana pendapatan lebih tinggi seperti bidang perusahaan teknikal, keusahawanan dan pendidikan,” jelasnya.

 http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140707/po_01/Ahmad-Razif-berada-pada-landasan-tepat—PM#ixzz36kAZGd7S 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.