CYBERJAYA – Aktivis politik dan artis grafik terkenal Fahmi Reza mendakwa dirinya telah disenaraihitam dan dihalang daripada meninggalkan negara oleh pihak berkuasa pagi tadi, ketika beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menaiki penerbangan ke Singapura.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Fahmi berkata kejadian itu berlaku sewaktu beliau merancang perjalanan singkat ke Singapura bagi menghadiri persembahan dua kumpulan muzik punk kegemarannya, iaitu Slant dari Korea dan Sial dari Singapura.
“Ini adalah hadiah hari jadi dan Hari Raya Aidiladha daripada Bukit Aman dan Kerajaan Madani,” katanya secara sinis dalam hantaran tersebut.
Menurut Fahmi, beliau tiba di KLIA sekitar jam 7:30 pagi dan ditahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa sebelum dibawa ke pejabat imigresen untuk pemeriksaan lanjut.
Selepas hampir setengah jam menunggu, beliau diminta menyerahkan salinan pasport, kad pengenalan, serta tiket penerbangan dan pas pelepasan, yang perlu dicetak. Walaupun pejabat imigresen mempunyai mesin cetak dan fotostat, Fahmi mendakwa beliau diarahkan untuk mencari tempat mencetak sendiri, menyebabkan beliau terpaksa bergegas ke sebuah hotel di dalam kawasan lapangan terbang bagi mencetak dokumen berkenaan.
Namun selepas menyerahkan semua dokumen, Fahmi dimaklumkan bahawa pihak Bukit Aman tidak membenarkan beliau ke luar negara.
“Saya tanya sebab apa. Pegawai imigresen jawab, ‘Kena tanya Bukit Aman’,” katanya lagi.
Kejadian ini berlaku hanya seminggu selepas Fahmi turut disenaraihitamkan dan dihalang memasuki negeri Sabah. Larangan tersebut dipercayai berkait dengan karya grafik satira beliau yang mengkritik pelantikan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Fahmi sebelum ini pernah ditahan pada Disember tahun lalu di Sabah kerana menyiarkan karikatur yang menggambarkan Musa Aman sebagai individu korup. Beliau kemudiannya diusir dari negeri itu pada awal Januari.
Setakat ini, pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan Fahmi Reza.