Ustaz Don berlapang dada, hormati pandangan ulama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pendakwah terkenal, Ustaz Don berlapang dada menerima keputusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang ‘merehatkan’ beliau daripada program Salam Baitullah.

Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid, 40, yang bertindak sebagai juruacara program berkenaan berkata, beliau reda dengan keputusan tersebut demi kebaikan semua pihak.

“Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan semua orang atas apa yang berlaku.

“Setakat hari ini, saya berlapang dada dengan keputusan dan arahan daripada RTM,” lapor Utusan.

Jelas lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu, beliau menghormati pandangan ulama yang pakar dalam hal ehwal melibatkan hadis dan agama.

“Arahan ulil amri (ulama) selagi tidak bercanggah mesti dipatuhi. Perkara ini saya selalu tekankan dalam mana-mana keadaan atau situasi.

“Alhamdulillah, saya masih boleh meneruskan dakwah, itu satu perkara yang baik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, menerusi ciapan di platform X, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman memaklumkan Ustaz Don di­rehatkan daripada mengemudi program Sa­lam Baitullah yang bersiaran di RTM.

Langkah tersebut di­ambil susulan kenyataan kontroversi Ustaz Don dalam satu program radio mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Beliau juga mendakwa Ummu Hani adalah cinta pertama Rasulullah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut membetulkan kenyataan Ustaz Don dan menjelaskan sanad kepada hadis disebutkannya mempunyai riwayat yang lemah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Ja­kim) akan memanggil Ustaz Don bagi mengadakan perbincangan serta mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi berkenaan.

“Kita dalam Islam, asas agama untuk menasihati antara satu sama lain dan Jakim sebelum ini memang mengambil pendekatan untuk menasihati.

“Jadi, saya akan bercakap dengan Ketua Pengarah Jakim dan bincang benda ini, ia tidak perlu serius sangat. Secara santai, kita boleh jemput,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Al-Liqa Al-Qaniniy 2024 di Putrajaya, semalam.

Mohd. Na’im pada masa sama menasihatkan pendakwah itu agar sentiasa merendah diri dan mengakui kesilapan sekiranya ada.

“Cuma kena ada sifat rendah diri untuk terima kita silap, mengakui kesilapan tidak kira sebesar mana kita, kena ada sifat tawaduk untuk terima kesilapan dan terus pandang ke depan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat