Dua Lelaki Rugi Ratusan Ribu Ringgit Ditipu ‘Pegawai Bank’

KUANTAN – Mungkin kerana bimbang dikenakan tindakan menyebabkan dua lelaki kerugian ratusan ribu ringgit selepas mempercayai identiti mereka digunakan untuk membuat pinjaman bank dan kad kredit yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata seorang juruteknik berusia 39 tahun mendakwa wang sebanyak RM218,060 miliknya lesap selepas ‘menuruti arahan kononnya daripada seorang pegawai bank’.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa menerima panggilan telefon yang kononnya daripada pihak Mahkamah Kuala Lumpur pada 30 Mei lepas memaklumkan dia mempunyai tunggakan kad kredit Maybank yang dinafikan mangsa.

“Mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberitahu terdapat waran tangkap ke atas dirinya dan diarahkan mendedahkan nombor akaun dan nombor pin untuk tujuan siasatan.

“Mangsa juga diminta membuka akaun baharu dan memindahkan wang ke dalamnya serta memberikan nombor akaun serta pin kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada suspek. Mangsa menuruti semua arahan itu sebelum mendapati wang miliknya dipindahkan ke dalam beberapa akaun lain.

“Pemindahan wang itu dilakukan secara dalam talian menerusi 13 transaksi bermula 31 Mei hingga 5 Jun lalu menyebabkan mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang warga emas berusia 66 tahun kerugian RM167,702.15 selepas diperdayakan ‘seorang pegawai dari Hong Leong Bank’ kononnya identiti mangsa digunakan untuk membuat pinjaman sehingga mempunyai tunggakan.

Mangsa yang merupakan seorang peniaga menafikan perkara itu telah diarahkan untuk membuka akuan bank baharu dan memindahkan semua wangnya, yang dilakukannya pada 4 dan 8 Mei lepas sebelum menyerahkan butir akaun itu kepada suspek.

“Mangsa juga membuat laporan di IPD Kuantan semalam, selepas mendapati wang dalam akaun berkenaan telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya,” katanya.

Mohd Wazir menambah kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.