Bayi 17 Bulan Hilang, Ditemui Selamat Dalam Semak

MUAR – Keluarga sahkan Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan ditemui selamat selepas dilaporkan hilang selama 12 jam.

Wakil keluarga yang juga ibu saudara mangsa, Fah Nur-Aini Syed Mustapha 36, merakamkan jutaan penghargaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kecekapan pihak terbabit serta seluruh rakyat Malaysia yang turut bersama-sama mendoakan kesejahteraan Nur Aisyah.

Keadaan terperinci bayi berkenaan masih belum diketahui berikutan sedang dirawat di zon kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Terdahulu, Nur Aisyah ditemui secara berseorangan dalam sebuah semak sebelum sepasukan anggota polis menemui mangsa.

Sementara itu, Bernama melaporkan suspek warga Nepal yang melarikan bayi tersebut sudah ditahan.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata suspek berusia 25 tahun tersebut ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh keluarga kanak-kanak berkenaan.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, pihak polis berjaya menemui mangsa di dalam belukar lebih kurang satu kilometer dari rumah pengadu (bapa).

“Mangsa kemudian diselamatkan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat lanjut mengenai kejadian.

Dalam kejadian itu, Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan, disedari hilang kira-kira 5 pagi tadi ketika kedua ibu bapanya Hasmizan Othman, 35 dan Siti Noorfadila Yusofe, 30 bangun untuk bersahur.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 3 dan 5 pagi ketika kesemua anggota keluarga mangsa sedang tidur di kediaman berkenaan.

Nur Aisyah merupakan anak bongsu daripada empat beradik. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.