500 Peserta Jayakan Program #QuranHour Di Sarawak

PETRA JAYA – Penganjuran kali ketiga program World #QuranHour di Sarawak tahun ini ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat sekitar Kuching dan Petra Jaya, hari ini.

Jangkaan awal penganjur seramai 400 peserta akan menyertai program berkenaan ternyata meleset selepas ia dihadiri lebih 500 peserta yang memenuhi ruang legar Mydin Mall Vista Tunku, di sini, sejak jam 9.30 pagi.

Pengerusi Pengelola program, Alina Abdul Razak berkata, sambutan yang begitu menggalakkan ini ternyata di luar jangkaan penganjur membuktikan program keislaman ini masih dekat di hati masyarakat.

Menurutnya, dalam program peringkat Sarawak tahun ini, pelbagai pengisian rohaniah yang dilaksanakan antaranya qasidah, alunan ayat suci al-Quran dan tazkirah.

“Al-Quran perlu dijadikan panduan dan pedoman dalam kehidupan seharian umat Islam dan program ini berjaya mengumpulkan kita untuk bersama mengalunkan ayat suci.

“Saya juga menyeru umat Islam agar mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk membaca al-Quran kerana ia mampu memberikan banyak kelebihan dalam kehidupan,” katanya ketika berucap sempena program berkenaan, hari ini.

Program World #QuranHour peringkat Sarawak tahun ini mendapat kerjasama dari Mydin, Pusat Informasi Islam dan Pustaka Negeri Sarawak.

Beliau yang juga Pengerusi Rumah Ngaji Sarawak turut menyeru masyarakat setempat untuk mewujudkan lebih banyak Rumah Ngaji di negeri ini dapat usaha untuk memartabatkan al-Quran.

“Masyarakat digalakkan untuk mewujudkan Rumah Ngaji dalam kalangan komuniti mereka supaya aktiviti membaca al-Quran ini dapat diteruskan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari dan setakat ini 25 Rumah Ngaji diwujudkan di negeri ini.

“Agensi kerajaan dan swasta juga boleh turut serta bagi melakukan aktiviti membaca ayat suci di pejabat masing-masing,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.