Rakyat Qatar Serbu Pasar Raya Lakukan Pembelian Panik

DOHA – Qatar menegaskan tidak mengetahui ‘hujung pangkal’ atau punca sebenar di sebalik tindakan drastik Arab Saudi dan enam negara lain yang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini kelmarin.

Menteri Luarnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata, pihaknya turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan Arab Saudi, Bahrain, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yemen, Libya serta Maldives me­lakukan tindakan yang ‘tidak pernah dibuat sebelum ini’.

Tegas beliau, pilihan strategik Qatar dalam menyelesaikan isu itu adalah menerusi sesi dialog.

“Berhubung sebab yang membawa kepada tindakan sedemikian, secara jujur kami tidak tahu jika ada sebab munasabah kepada krisis ini atau sama ada itu berdasarkan kepada perkara-perkara yang kami tidak sedar,” katanya.

Sheikh Mohammed memberitahu, jika ada sebab munasabah untuk menghentikan hubungan diplomatik, perkara itu sepatutnya dibentangkan di meja rundingan semasa mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Namun tegas beliau, tiada sebab di­nyatakan, sama ada semasa mesyuarat itu atau sidang kemuncak Arab-Islam-Amerika baru-baru ini.

“Tiada tanda-tanda langsung, tindakan itu bermula selepas pe­ningkatan penyebaran berita palsu akibat penggodaman laman web Qatar News Agency,” kata­nya.

Dalam pada itu, Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah di­lapor memulakan ini­siatif sebagai orang tengah bagi menyelesaikan krisis terbabit apabila menerima lawatan perwakilan ter­­tinggi Arab Saudi dan meng­hubungi pemimpin Qatar berhubung isu tersebut.

Agensi berita KUNA berkata, Penasihat Ra­ja Arab Saudi, Putera Khaled al-Faisal telah me­ngadakan perbincangan dengan Sheikh Sabah tentang hubungan dua hala kedua-dua negara dan perkembangan terkini antarabangsa dan serantau.

Sheikh Sabah juga meminta Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani supaya tidak mengambil sebarang langkah yang akan memburukkan lagi ke­adaan.

Pemimpin Kuwait itu memainkan peranan penting semasa berdepan krisis serupa pada 2014 yang kemudiannya menyelesaikan pertikaian antara Qatar dan negara jirannya.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada masa sama meng­hubungi pemimpin Qatar, Rusia, Kuwait dan Arab Saudi bagi membincangkan langkah untuk me­ngurangkan ketegangan itu.

“Kepentingan keamanan dan kestabilan serantau menjadi tajuk utama perbincangan serta kepentingan untuk menggunakan saluran diplomasi,” kata­nya.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa Qatar supaya berhenti daripada menyokong mana-mana kumpulan pengganas berhubung dakwaan Doha menyokong kumpulan pelampau.

OIC dalam kenyataannya turut menggesa Qatar supaya mematuhi komitmen dan perjanjian yang ditandatangani di bawah payung GCC termasuk menghentikan sokongan kepada kumpulan serta aktiviti pengganas.

Sementara itu, langkah Arab Saudi dan tiga negara lain me­ngenakan sekatan laluan darat, laut dan udara ke atas Doha me­nyaksikan penduduk negara ini melakukan ‘pembelian panik’.

Orang ramai ada asas melakukan pembelian panik itu kerana import makanan Qatar banyak bergantung kepada Arab Saudi.

Mereka berbaris panjang di pasar raya, termasuk Carrefour di Center Mall, antara kawasan beli-belah paling sibuk, sejak semalam dengan pelanggan memenuhkan beberapa troli dengan keperluan asas. – REUTERS/AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.