Media Sosial Ejen Sebar

SHAH ALAM – Perkembangan teknologi media sosial hari ini menjadi penyumbang kepada kepesatan penyebaran liberalisme di Malaysia.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sebelum wujudnya media sosial, penyebaran fahaman liberalisme hanya melalui penerbitan buku dan majlis perbincangan yang terbatas.

“Dahulu, ia memerlukan belanja besar walaupun golongan liberalis itu mendapat dana dari luar. Sementara buku-buku pula perlu dijual dan dibeli. Ini melibatkan wang pembeli. Proses penyebaran seperti ini lambat.
“Dengan adanya media sosial, sasaran tidak perlu mengeluarkan wang. Mereka cuma perlu membaca sahaja. Tiada bayaran. Proses menyampaikannya pun cepat,” katanya.

Beliau berkata, golongan yang mudah terpedaya dengan dakyah pemikiran dan falsafah liberalisme terdiri daripada individu yang tidak menekuni Islam secara tertib, tidak berdisiplin dalam menuntut ilmu serta tidak menghayati teks-teks autentik daripada karya-karya turath.

“Panduan mereka bukan lagi al-Quran dan sunnah, akan tetapi falsafah pascamodernisme yang berpaksikan kepada human centricism iaitu sikap memutlakkan akal dan ego diri,” katanya.

Sementara itu, Ismail Mina berkata, pihak berkuasa memerlukan satu mekanisme baharu bagi menghalang penyebaran fahaman liberalisme melalui media sosial.

“Jika kita ada mekanisme untuk memantau penyebaran fahaman Daesh, kita juga perlu mengadakan mekanisme seperti itu untuk memantau terrorisme pemikiran.

“Gerakan liberalisme adalah gerakan terrorisme pemikiran yang natijahnya menjurus kepada ketidakstabilan dan kekacauan dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas keseriusan penyebaran fahaman liberalisme, Ismail Mina berkata, situasi pada hari ini amat membimbangkan.

Jelasnya, penyebaran virus liberalisme ini sudah memasuki kelompok, organisasi dakwah Islam dan institusi-institusi berjenama Islam.

“Sekarang ini, kelompok yang memperjuangkan liberalisme ini tumbuh macam kulat dengan pelbagai nama yang catchy. Merekalah ejen menularkan lagi virus ini sehingga ke kawasan pedalaman.

“Virus liberalisme ini juga sudah menular ke kampus-kampus. Mahasiswa yang tidak kuat dalam ajaran agamanya akan terpengaruh. Aktivis liberal itu menyogok mahasiswa dengan slogan kebebasan, keadilan, kemanusiaan dan sebagainya,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.