Kopiah Amy Search Semakin Dikenali, Laris Di Pasaran

KUALA LUMPUR – Kopiah Maulana mirip topi pelaut yang diperkenalkan bintang rock, Amy Search pada Ramadan tahun lalu, terus mendapat sambutan peminat.

Kopiah yang menjadi sebahagian daripada koleksi pakaian jenama General Product by Amy Search itu menjadi pilihan jejaka yang mahu tampil kasual dan bergaya di pagi Aidilfitri.

Amy memberitahu BH Online, dia bersyukur perniagaan yang diusahakan sejak tahun lalu mendapat sambutan baik.

“Alhamdulillah, tahun kedua beroperasi di Publika, Solaris Dutamas, kedai kami terus menerima kunjungan ramai… tempat ini strategik.

“Malah sepanjang Ramadan, saya banyak menghabiskan masa di kedai bersama isteri dan anak,” katanya. Amy berkata, selain kopiah, dia turut menjual busana wanita.

“Dunia fesyen cukup saya minat. Saya menghasilkan kopiah Maulana, kurta, jubah dan kebarung klasik sebagai pilihan untuk wanita,” katanya.

Menurut Amy, rekaan eksklusif pada jubah, kurta dan songkok Maulana menampilkan identiti sendiri serta berbeza berbanding jenama lain.

“Material yang dipilih selesa dipakai. Secara keseluruhan, ia menggambarkan gaya dan cita rasa saya yang ingin saya kongsi dengan penggemar fesyen,” katanya.

Amy bersyukur isterinya, Nourish banyak membantu menguruskan hal-ehwal perniagaan.

“Saya bertuah kerana dikurniakan Allah isteri yang tangkas membaca selok-belok permainan dunia perniagaan.

“Sudah lama saya mengimpikan untuk memiliki jenama fesyen sendiri. Saya harap ia menjadi permulaan yang baik untuk terus mengukuhkan jenama saya dalam hati pembeli,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.