Insa Perkuat Skuad JDT

KELAB bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuhkan jentera pasukannya apabila skuad Harimau Selatan itu mendapatkan khidmat pemain dari Sepanyol, Ignacio Natxo Insa Bohigues pada jendela perpindahan pemain ketika ini.

Pengumuman kemasukan pemain itu dibuat menerusi laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers.

Sehubungan itu, Insa yang dilahirkan di Valencia, Sepanyol itu bakal membarisi bahagian tengah JDT, sekali gus mampu memperkuatkan pasukan dalam saingan musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu akan digandingkan dengan dua lagi pemain tengah iaitu Safiq Rahim dan Harris Harun.

Insa memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional sejak 2006 bersama Akademi Remaja Valencia.

Dalam pada itu, pemain tersebut terus mengorak langkah melebarkan sayap­nya bersama beberapa lagi pasukan termasuk Villarreal CF, Celta Vigo dan Real Zaragoza.

Sepanjang 11 tahun berkecimpung dalam kancah bola sepak, pelbagai pengalaman sudah diraih pemain itu dan kepakarannya sudah tentu ditagih JDT untuk terus me­nguasai Liga Super musim ini.

Dia sudah beraksi lebih 258 perlawanan di pentas antarabangsa dan menghasilkan 11 gol sepanjang tempoh tersebut.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini menandatangani Mohammad Ghaddar dari Kelantan dengan nilai perpindahan mencecah RM1.4 juta.

JDT ketika ini menerajui Liga Super dengan 27 mata hasil lapan kemenangan dan tiga seri. Pahang menduduki tempat kedua dengan 21 mata hasil enam kemenangan dan tiga seri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.