Golongan B40 Terus Diberi Perhatian, Turut Nikmati Perkembangan Ekonomi

KAMUNTING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan perkembangan ekonomi negara akan turut dinikmati oleh golongan B40 (isi rumah berpendapatan rendah) melalui pelbagai bantuan.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan membiarkan jurang pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin semakin melebar saban hari yang diamalkan dalam sistem ekonomi kapitalis.

Sebaliknya, kata Datuk Seri Najib, sebagai sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada golongan yang berpendapatan rendah.

“Inilah kerajaan kita dipimpin UMNO dan Barisan Nasional di mana kita tak membiarkan ekonomi negara kita terus berkembang di mana yang kuat akan lebih berjaya dan yang kaya akan terus menjadi lebih kaya.

“Sistem ekonomi yang terbuka seperti ini akan menyebabkan jurang pendapatan semakin hari semakin melebar.

“Kerajaan pimpinan UMNO dan BN tidak berpegang kepada falsafah ekonomi kapitalisma yang terbuka, sebaliknya tentukan campur tangan kerajaan secara membina.

“Supaya mereka yang memerlukan bantuan, dapat kita beri bantuan, bukan secara pukal tapi bersasar yakni kita boleh khususkan individu dan keluarga yang perlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Jom Bantu Rakyat Parlimen Bukit Gantang di padang Taman Mewah Fasa 2 di sini pada Rabu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Hussein Abu Hafaz.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia daripada 4.4 peratus kepada 4.9 peratus tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan tuduhan kononnya kerajaan menggunakan duit penyimpan Tabung Haji untuk membantu rakyat, sebaliknya ia adalah hasil keuntungan perniagaan yang dijalankan.

Sempena program itu, Perdana Menteri turut menyampaikan pelbagai bantuan untuk pekebun kecil, nelayan dan bantuan kebajikan di samping melancarkan projek lampu jalan kampung fasa lapan peringkat negeri Perak. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.