Datuk Terlibat Rasuah Menangis Di Mahkamah

PUTRAJAYA – Enam individu termasuk 4 bergelar ‘Datuk’ direman 5 hari untuk membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Enam individu tersebut ialah pengerusi, setiausaha, bendahari yang masing-masing bergelar “Datuk” serta seorang anggota lembaga koperasi GLC dan isterinya yang merupakan penjawat awam selain seorang pemilik syarikat pembekal yang juga bergelar “Datuk”.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman hari ini mengeluarkan perintah reman sehingga 11 Jun ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, 3 daripada 6 individu tersebut menangis ketika merayu untuk memendekkan tempoh reman dengan memberikan alasan mempunyai masalah kesihatan dan juga ingin menyambut bulan Ramadan bersama keluarga.

Enam individu itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.45 pagi dan anggota keluarga yang menunggu kelihatan menangis sebaik melihat ketibaan 6 individu terbabit.

Semalam, keenam-enam individu itu ditahan di sekitar Lembah Klang kerana disyaki memperdaya tidak kurang daripada 450 anggota koperasi di bawah naungan mereka yang menghasilkan komisyen ratusan ribu ringgit bagi ahli lembaga berkenaan.

Dilaporkan ahli koperasi tidak mengetahui yang mereka meminjam dan kemudian melabur dalam syarikat MLM yang didaftarkan di bawah naungan ahli lembaga berkenaan.

Mereka juga disyaki menyalah guna kuasa dengan berpakat bersama seorang individu sebuah syarikat pembekal barang keperluan pengguna bagi membolehkan koperasi berkenaan membeli dahulu barangan daripada syarikat pembekal sebelum menjualnya semula kepada syarikat pembekal yang sama.

SPRM menyatakan transaksi itu berlaku hanya di atas kertas sahaja apabila anggota koperasi mahu membeli barangan itu, mereka perlu membuat pinjaman koperasi dan syarikat pembekal akan menjual barangan kepada ahli berkenaan.

Kemudian, pihak pembekal akan mengeluarkan invois tuntutan bayaran kepada koperasi berkenaan.

SPRM juga menyatakan rasuah disyaki berlaku apabila syarikat pembekal menjual pada harga tinggi kepada koperasi dan syarikat itu menggunakan sebahagian daripada keuntungan untuk membayar kepada ahli lembaga koperasi yang terlibat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.