Banyak Isu Babitkan FGV Perlu Diselidik

SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad supaya campur tangan dan meredakan kemelut yang melanda firma perladangan itu.

Shahrir juga, kata beliau yang juga ahli Parlimen Pandan, perlu mengekalkan Datuk Zakaria Arshad selaku presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan itu.

Saya memberi nasihat kepada Shahrir untuk campur tangan dan meredakan keadaan dengan mengekalkan Zakaria sementara segala isu disiasat dengan lebih lanjut.

 

“Berita penggantungan jawatan beliau oleh (Pengerusi FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad diselubungi banyak isu yang perlu diselidik dan disiasat dengan lebih jelas.

“Saya mengambil kira rekod Zakaria sebagai seorang tokoh korporat dari generasi kedua Felda. Beliau juga berjaya memimpin FGV dan menunjukkan sedikit peningkatan kebelakangan ini,” kata Rafizi dalam kenyataan, semalam,

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau kurang mengeluarkan kenyataan mengenai FGV sejak kebelakangan ini kerana mahu memantau firma tersebut yang berpotensi lebih maju di bawah kepimpinan Zakaria.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin menyatakan sokongan terhadap Zakaria dengan mengucapkan tahniah atas tindakan Zakaria meminta SPRM untuk menyiasat FGV.

“Tahniah Zakaria di atas keberanian saudara mendesak SPRM untuk menyiasat penyelewengan FGV. Hak peneroka mesti terus dibela,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.