BAM Tagih Sentuhan Misbun

Kemungkinan besar beberapa bekas jurulatih serta pemain kebangsaan bakal kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas badan induk sukan badminton negara itu dikatakan me­ngadakan perbincangan dengan individu tertentu.

Antara nama besar yang disebut-sebut bakal kembali ke pangkuan BAM adalah bekas jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek yang merupakan individu penting mengembangkan bakat Datuk Lee Chong Wei.

Bagaimanapun Presiden­ BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria enggan mengulas lanjut berhubung spekulasi tersebut, namun beliau menyatakan hasrat untuk melihat ramai anak tempatan dalam barisan kejurulatihan BAM.

“Saya tidak boleh beri sebarang komen mengenai perkara ini (pelantikan Misbun) kerana ia memerlukan proses-proses ter­tentu. Sebarang keputusan serta maklumat lanjut berhubung perkara itu akan kami terangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan­ dan Latihan (C&T) Khamis ini (esok).

“Secara peribadi, memang saya berhasrat untuk melihat ramai jurulatih tempatan memainkan peranan dalam BAM tetapi buat masa ini kami tidak akan lakukan perubahan drastik.

“Saya jangkakan bekas-bekas pemain akan bersama BAM suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur semalam, lapor Kosmo.

Misbun yang juga le­genda badminton tanah air dilantik sebagai jurulatih perseorangan negara pada 2002 dan beliau melepaskan jawatan tersebut pada 2011 selepas mengemudi Chong Wei muncul sebagai pemain No. 1 dunia.

Difahamkan, beberapa lagi bekas pemain kebangsaan seperti Ong Ewe Hock, Yap Kim Hock dan Wong Choon Hann bakal menyertai barisan kejurulatihan BAM.

Norza yang juga Timbalan Presiden MOM berkata, beliau sedang berbincang dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berhubung penstrukturan semula struktur kejurulatihan BAM selepas aksi longlai yang ditampilkan skuad negara pada Piala Sudirman hujung bulan lalu.

Tambahnya, beliau sudah menerima draf daripada Frost berhubung struktur kejurulatihan baharu, namun belum mengenal pasti sama ada ia individu baharu atau jurulatih sedia ada.

“Saya sudah beritahu Morten (Frost) mengenai cadangan perubahan struktur kejurulatihan BAM dan perkara ini juga akan dibentangkan dalam mesyuarat C&T.

“Morten juga sudah serahkan draf kepada saya, namun masih belum dimuktamadkan sama ada ia melibatkan individu baharu atau individu sedia ada kerana masih dalam perbincangan bersama Morten dan pihak-pihak lain,” ujar Norza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.