Baju Raya Che Ta, Aaisyah 120 Pasang

Saban tahun setiap kali tibanya bulan Ramadan, sudah menjadi rutin buat pelakon popular, Rozita Che Wan akan mengerjakan umrah dan berpuasa di Mekah.

Rutin tersebut bagaimanapun berubah pada tahun ini memandangkan jadual kerja yang begitu padat sehingga tiada masa bercuti panjang.

Biarpun ralat tidak dapat mengerjakan umrah pada Ramadan tahun ini, Rozita atau Che Ta, 44, tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima dari­Nya.

Dalam pada itu, tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya, Che Ta dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana, 3, dilantik sebagai duta pakaian muslimah popular iaitu Minaz dan bekerjasama menerusi kempen Minaz Blooming Raya 2017.

Menurut Che Ta, jika ikutkan tahun ini, dia mendapat tawaran untuk mengeluarkan koleksi pakaian raya untuk Zalora.

“Namun, berdasarkan pengalaman bersama Tesco tahun lalu, saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan koleksi pakaian sendiri, tambahan pula dengan komitmen kerja lain.

“Oleh itu, tawaran Minaz datang pada waktu yang tepat. Saya tidak perlu melakukan banyak kerja selain mengayakan pakaian Minaz dan membantu dari sudut promosi,”katanya, lapor Kosmo.

Ditanya adakah Che Ta bakal keluarkan koleksi jenama sendiri pada tahun hadapan, menurutnya Insya-Allah, jika diberi masa yang mencukupi dan mempunyai perancangan awal dia tiada sebarang masalah.

“Saya tidak berasa rugi apabila tolak tawaran Zalora, sebaliknya lebih bimbang jika tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya. Jika ada rezeki, tahun depan saya cuba lagi.,”katanya.

Sementara itu memgulas mengenai persiapan baju raya, jika pada tahun lalu, jumlah baju raya Che Ta, Zain dan Aaisyah mencecah sebanyak 110 pasang bagaimanapun tahun ini menurutnya tahun ini ada pertambahan.

“Tahun ini saya dan Aaisyah mempunyai sebanyak 120 pasang baju raya dan semuanya daripada koleksi Minaz. Jadi, saya tidak perlu pening kepala untuk tempah baju raya. Selalunya saya akan sibuk pilih kain dan pilih rekaan untuk ditempah tetapi tahun ini semuanya telah siap sedia,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.