Video : TPM Minta Terima Calon Seadanya, Tidak Perlu Sakit Hati

Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim

 

KUALA KANGSAR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera Barisan Nasional di Kuala Kangsar supaya tidak sakit hati dan menerima dengan hati terbuka pemilihan isteri Allahyarham bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad yang dinamakan sebagai calon BN Kuala Kangsar.

 

Ahmad Zahid berkata, jentera (yang tidak menjadi calon) perlu membantu Datin Mastura Mohd Yazid, kerana disebabkan beliau dahulu sangat rapat dengan arwah suaminya dan merupakan calon yang tepat bagi kawasan itu.

 

“Beliau (Mastura) merupakan calon yang tepat. Walaupun beliau dilahirkan di Negeri Sembilan, tetapi selama hampir 30 tahun, beliau bergelumang di Kuala Kangsar. Sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai peguam, kerana mahu mengikut dan bersama-sama suaminya.

“Di parlimen saya jumpa beliau di Istana, jumpa bersama orang kampung, di masjid saya jumpa ertinya beliau adalah pendamping utama kepada Allahyarham. kerana itulah beliau merupakan calon yang paling tepat untuk meneruskan perancangan arwah suaminya. Ia bagi meneruskan kesinambungan arwah suaminya. Apa sahaja yang dibuat yang ada di dalam catatan. InshaAllah,”katanya di Ulu Kenas, di sini, petang ini.

 

Ahmad Zahid berkata, kerana dia ditakdirkan menjadi timbalan kepada Perdana Menteri, jadi amat munasabah sekiranya beliau turut memberikan sambutan kepada semua perancangan yang dilakukan oleh Allahyarham dan bakal diteruskan oleh Mastura.

 

Sehubungan itu, beliau berkata tidak melihat faktor-faktor luar yang menggugat kejituan dan sokongan kepada Mastura sebagai calon BN kawasan itu.

 

“Kalau adapun sikit-sikit sesama kita ni, rasa dapat, tapi tak dapat (jadi calon) tetapi kalau sesuatu rezeki itu dah jadi (diberikan) kepada orang tu jangan dipertikaikan, takdir telah menentukan. Zaman kita, zaman kitalah. Kalau zaman kita telah berlalu kalau orang lain dapat maka sokonglah!kalau tak suka sekalipun diam. Nak sakit hati sampai bila? Sampai meninggal?,”katanya dalam loghat Perak.

 

Beliau turut menasihati jenteranya supaya membantu calon dengan seikhlasnya supaya Allah membalas segala perbuatan baik yang dilakukan demi parti. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.