Sampai Bila Mahu Bersabar Dengan Cemuhan DAP, Soal Pemimpin PAS

KUALA SELANGOR – Dewan Ulama Pas tidak lagi sanggup bersabar dengan segala penghinaan yang dilakukan oleh DAP terhadap parti tersebut.

 

Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, tindakan tegas mesti diambil bagi membuang persepsi kononnya Pas menjadi kuda tunggangan DAP.

 

Menurut beliau, atas kesedaran itu Dewan Ulama Pas mengambil inisiatif meluluskan usul memin­ta Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

 

“DAP bertubi-tubi menghina dan mencela Pas, tetapi kita hanya diam serta bersabar.

 

“Sampai bila kita boleh bersabar de­ngan cemuhan daripada DAP?” ka­tanya ketika menggulung perbaha­san ucapan Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61, di sini semalam.

 

Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Kali Ke-54 Rabu lalu secara sebulat suara meluluskan usul meminta Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

 

Mahfodz menambah, walaupun Dewan Ulama Pas terkilan kerana usul tersebut diluluskan tanpa bahas dalam muktamar, sayap berkenaan tetap wala’ atau setia kepada kepemimpinan parti.

 

Terdahulu, muktamar tersebut meluluskan usul yang dikemukakan Dewan Ulama Pas tanpa bahas dan mahu Pas kekal bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

 

Selain itu, Pas juga menegaskan kepada rakan dalam pakatan pembangkang agar menghormati pendirian, polisi dan dasar parti masing-masing serta tidak akan menggadaikan dasar perjuangan demi mencapai matlamat dan kemenangan.

 

Pada masa sama, usul Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan yang dikemukakan Dewan Pemuda Pas dan Dewan Muslimat Pas turut diluluskan tanpa bahas.

 

Sementara itu, muktamar turut meluluskan tiga usul setelah dibahaskan perwakilan termasuk isu pemer­dagangan manusia yang dibentangkan Pas Kawasan Kota Raja.

 

Dua lagi usul lain ialah pengurusan organisasi yang dikemukakan Pas Kawasan Serdang dan usul antarabangsa mengutuk hukuman mati ke atas bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi dan ulama Islam terkenal, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.