Riwayat Pakatan Sudah Tamat – Kit Siang

Kuala Lumpur – Pakatan Rakyat sudah sampai ke penghujungnya dan apa yang tinggal adalah membaca talkin untuk pakatan pembangkang itu, demikian kata seorang tokoh DAP selepas parti sekutunya PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa debat di muktamarnya.

 

Lim Kita Siang berkata hari ini, ramalannya dua minggu lalu PR tidak akan wujud selepas muktamar PAS nampaknya menjadi kenyataan.

 

“Ramalan saya Pakatan Rakyat tidak akan wujud dalam dua minggu nampaknya menjadi kenyataan dan apa yang tinggal adalah melaksanakan upacara talkin,” katanya di Gelang Patah hari ini.

 

“Apa yang berlaku pastinya adalah kemenangan untuk ahli strategi dan perencana Umno dalam konspirasi mereka memecah dan menghancurkan PR dengan umpan kerajaan perpaduan di antara Umno serta PAS  dan pelaksanaan hudud di Kelantan.”

 

Ini ekoran usul Dewan Ulama PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP tetapi terus bersama Pakatan diluluskan tanpa bahas.

 

Usul itu dibawa oleh ahli jawatankuasa pusat Dewan Ulama Mokhtar Senik yang berkata tindakan DAP melanggar had tingkah laku yang boleh diterima.

 

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan Tantawi berkata semalam, Dewan Ulama meluluskan usul itu sebagai membalas serangan DAP terhadap parti Islam berkenaan.

 

Dewan Ulama meluluskan usul itu di persidangannya Rabu lalu dan ia diterima oleh badan utama PAS tanpa debat di muktamarnya.

 

Kit Siang berkata, keputusan itu bermakna politik Malaysia memasuki ruang yang belum pernah dilaluinya yang membawa padah serta-merta.

 

“Di Pulau Pinang contohnya, usul muktamar PAS itu menyekat wakil-wakil PAS daripada terus bertugas di pelbagai peringkat kerajaan negeri.

 

“Di Selangor pula, senarionya lebih teruk kerana ia mungkin membabitkan pilihan raya negeri,” tambah beliau.

 

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, walaupun usul itu diluluskan, keputusannya belum muktamad kerana ia perlu diperbincangkan oleh jawatankuasa pusat parti serta Majlis Syurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.