PKR Bincang Kemasukan PasMa Dalam PR

Kuala Lumpur – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan perbincangan mengenai kedudukan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat (PR)

 

Ia dilakukan dengan mengambil kira pelbagai pandangan memandangkan kedudukannya yang berstatus pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Mengulas mengenai perkara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia akan dibawa ke dalam mesyuarat.

 

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada akan berbincang dengan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan pemimpin-pemimpin PR yang lain.

 

“PasMa masih lagi sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kita akan bertemu dan berbincang mengenai perkara itu,” katanya yang menjawab soalan pemberita mengenai desas desus PasMa akan bersama PR.

 

Ketika ditanya peranan PKR bagi menjernih semula hubungan antara Pas dan DAP, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau sendiri akan bertemu dengan pemimpin parti berkenaan dalam masa terdekat bagi menjernihkan hubungan.

 

“Kita akan bertemu dalam masa terdekat. Saya akan bertemu mereka di Parlimen. Tetapi esok saya akan pergi ke Sabah,” ujarnya ringkas.

 

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata PKR akan menjadi orang tengah dalam usaha memulihkan hubungan antara Pas dan DAP, dalam PR.

 

Penyelesaian akan dicari bagi menggatasi kemelut yang timbul di antara parti berkenaan.
Menurutnya satu perjumpaan membabitkan pimpinan PKR, Pas dan DAP akan diadakan bagi merealisasikan tujuan itu.

 

“Pimpinan PKR berunding dengan pimpinan PAS dan DAP dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media ringkas di Ibu Pejabat PKR, pada Ahad.

 

Jelasnya, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah mengadakan mesyuarat bulanan pada Ahad untuk membincangkan keadaan terkini politik tanah air.

 

“PKR bertekad dan istiqamah untuk terus perjuangkan harapan rakyat berlandaskan kerangka Pakatan Rakyat (PR),” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.