Gempa Bumi Sabah: RM10 Ribu Untuk Mangsa Yang Maut

Ranau – Keluarga mangsa warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi gempa bumi di negeri ini Jumaat lalu akan menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM10,000.

 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RM5,000 daripada bantuan itu merupakan sumbangan kerajaan Persekutuan, manakala RM5,000 lagi adalah sumbangan daripada kerajaan negeri.

 

Selain itu, bantuan sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada mereka yang cedera, manakala RM1,000 bagi yang tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi trauma kerana berada di tempat kejadian, khususnya di Gunung Kinabalu, kata Muhyiddin pada sidang media di Ligawu, di sini pada Ahad.

 

Berkenaan kerosakan pada bangunan dan harta kerajaan, Muhyiddin memaklumkan bahawa terdapat 33 buah sekolah yang mengalami keretakan.

 

“Sama ada semua sekolah itu masih boleh digunakan atau sebaliknya, bergantung kepada hasil siasatan dan ujian yang akan dilakukan.

 

“Kita perlu tahu sama ada ia perlu diroboh dan dibina semula,” jelas beliau yang juga Menteri Pelajaran sambil menambah perkara itu diserahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Turut diumumkan Muhyiddin ialah Masjid Daerah Ranau yang mengalami kerosakan teruk akan menjalani kerja pembinaan semula yang akan melibatkan kos RM8 juta.

 

Selain itu Timbalan Perdana Menteri turut mengangkat peranan malim gunung yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) sebagai wira dan berkata golongan berkemahiran khas itu bakal menerima sumbangan khas daripada kerajaan.

 

Kira-kira 90 malim gunung warga tempatan turut membantu operasi SAR di sepanjang laluan pendakian di mana lebih 120 pendaki dipercayai terperangkap ketika sedang mendaki ke puncak Kinabalu apabila gempa bumi melanda pada jam 7.15 pagi Jumaat.

 

Terdahulu, sidang media Muhyiddin di sebuah restoran di Liwagu terpaksa ditangguhkan seketika selama beberapa minit berikutan berlaku satu gegaran susulan pada 3.7 skala Richter kira-kira jam 1.32 petang yang menyaksikan beliau dibawa keluar ke tempat selamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.