Barcelona Raja Eropah Kali Kelima

Berlin – Barcelona dinobatkan sebagai raja Eropah buat kali kelima, selepas menundukkan Juventus 3-1 dalam final Liga Juara-juara Eropah yang berlangsung di Olympic Stadium, semalam.

 

Ini juga merupakan gelaran ketiga buat Barca pada musim ini, selepas menjuarai La Liga dan Piala Raja Sepanyol sebelum ini.

 

Barca memulakan perlawanan dengan garang, apabila pemain dari Croatia, Ivan Rakitic membuka jaringan pada minit keempat.

 

Juventus bangkit menyamakan kedudukan, menerusi jaringan bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata beberapa minit selepas separuh masa kedua bermula.

 

Barca meneruskan asakan dan kembali mendahului perlawanan melalui gol yang disumbangkan penyerang dari Uruguay, Luis Suarez pada minit ke-68.

 

Kemenangan Barca dimuktamadkan menerusi rembatan penyerang dari Brazil, Neymar sejurus sebelum wisel penamat dibunyikan.

 

“Ia luar biasa, satu impian dan sesuatu yang unik. Untuk menang, anda perlu berusaha, jika tidak, ia tidak berbaloi dan hari ini, kami telah berusaha untuk menang perlawanan ini,” kata Suarez kepada wartawan.

 

Dalam pada itu, Juventus yang terpaksa akur dengan kekuatan Barca, menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Juara-juara Eropah yang kecundang enam kali di peringkat akhir.

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya untuk musim menakjubkan ini.

 

“Kami bermain dengan baik malam ini (semalam), malangnya apabila anda berlawan dengan pemain-pemain hebat dan fikir anda boleh mengawal perlawanan, mereka kalahkan anda,” kata jurulatih Juve, Massimiliano Allegri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.