Perniagaan haram isu sejagat, bukan alasan mansuh program pengecualian visa warga China – King Sing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mempertahankan program pengecualian visa bagi tempoh 90 hari untuk warganegara China.

Selain itu beliau turut menggesa agar tumpuan diberikan kepada aspek penguatkuasaan berbanding memansuhkan dasar yang memanfaatkan ekonomi negara.

King Sing berkata, penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan haram adalah isu sejagat dan tidak wajar dijadikan alasan untuk menggugat dasar yang bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Daripada mempertikai pelaksanaan pengecualian visa ini, kita sepatutnya fokus kepada usaha mempertingkat penguatkuasaan dan pemantauan bagi membendung penyalahgunaannya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Jelas King Sing lagi, pengecualian visa telah memberikan sumbangan yang ketara terhadap pemulihan ekonomi, khususnya dalam industri makanan dan minuman, hospitaliti, logistik serta perkhidmatan.

Ujarnya, kemudahan perjalanan yang lebih baik telah membuka lebih banyak peluang perniagaan dan memperluas pelanggan dalam kalangan usahawan tempatan.

Dalam pada itu King Sing memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan supaya tidak mempolitikkan atau memanipulasi dasar kerajaan terutama yang dirangka menerusi kajian terperinci dan kolaborasi pelbagai agensi.

“Kritikan tidak berasas dan menolak inisiatif seumpama ini adalah tidak bertanggungjawab. Ia menjejaskan usaha dan niat sebenar di sebalik proses pembentukan dasar kita,” tegas Ahli Parlimen Bintulu itu.

King Sing juga mengakui terdapat segelintir individu mungkin menyalahgunakan pengecualian visa itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan tidak sah, beliau berkata, langkah yang wajar adalah penguatkuasaan yang tegas, bukannya membatalkan dasar tersebut.

“Agensi penguatkuasaan perlu mempertingkat usaha dan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang. Orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang salah laku kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas mengenai video mengelirukan menerusi TikTok yang menyarankan kerajaan mungkin membatalkan pengecualian visa susulan peningkatan pelancongan dari China, King Sing berkata, beliau telah menghubungi Kedutaan China untuk siasatan lanjut menggesa agar kandungan di media sosial dikongsikan dengan lebih jelas dan bertanggungjawab.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat