KUALA LUMPUR – Malaysia memohon ekstradisi ke atas bekas rakan kongsi Goldman Sachs dari Amerika Syarikat (AS), Tim Leissner, berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.
Memetik laporan Wall Street Journal, kerajaan mengemukakan permohonan ekstradisi itu kepada Jabatan Kehakiman AS pada Ogos 2024.
Notis Merah Interpol pada November lalu meletakkan Leissner dalam senarai amaran untuk ditangkap di hampir mana-mana negara.
Sumber memaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang mendesak Leissner diekstradisi sebelum beliau pulang ke negara asalnya, Jerman dan mungkin dapat mengelak daripada pendakwaan.
Notis Merah Interpol itu mendakwa Leissner melanggar undang-undang pasaran modal Malaysia, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun jika disabitkan kesalahan.
Pada 27 Oktober 2021, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan terhadap Leissner berkaitan kes 1MDB.
Najib berkata, Goldman Sachs dilantik oleh Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum beliau menjadi Perdana Menteri (2009) dan sebelum ia dipindah ke Kerajaan Persekutuan serta seterusnya ditukar nama menjadi 1MDB,” lapor BH.
Pada 2020, Najib menegaskan, Leissner mengaku salah di mahkamah pernah menyogok beberapa individu dari 1MDB dan kerajaan Malaysia yang nama-nama mereka tidak didedah secara umum.
Akibatnya, dakwa bekas Perdana Menteri itu lagi, Goldman Sachs bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$3.9 bilion bersamaan RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.