KUALA LUMPUR, 6 Mei – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) seharusnya digunakan sebagai alat strategik untuk mengesan dan memulihkan semula dana mangsa penipuan dalam talian, bukan sekadar menumpukan kepada penangkapan pelaku semata-mata.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kebergantungan semata-mata kepada siasatan konvensional untuk menangkap suspek tidak lagi mencukupi, terutamanya apabila penipuan melibatkan sindiket antarabangsa dan penggunaan akaun keldai yang sukar dikesan.
“Pendekatan kita masih terlalu terikat kepada model lama – tangkap pelaku, buka kertas siasatan, dan tunggu pendakwaan. Tetapi dalam kes scam hari ini, pelaku mungkin sudah tiada, wang sudah berpindah rentas negara. Di sinilah AMLA sepatutnya memainkan peranan lebih besar untuk membekukan, menyita dan akhirnya melucuthakkan wang haram itu bagi memulangkannya kepada mangsa,” tegas beliau.
Beliau mengulas laporan akhbar The Star bertarikh 4 Mei 2025 berkenaan seorang usahawan yang ditipu dalam skim pelaburan atas talian sehingga mengalami kerugian RM1.8 juta.
Dzulkifli menegaskan, AMLA memberi kuasa luas kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejak aliran kewangan secara forensik. Namun, beliau bimbang kuasa ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kalau kita hanya mahu tangkap penjenayah, kita sedang bermain di permukaan. Tetapi jika kita serius mahu melumpuhkan rangkaian mereka dan memberi keadilan kepada mangsa, kita mesti kejar wang itu sampai dapat. Itulah intipati sebenar AMLA,” tambah beliau.
Dzulkifli kini mengetuai Amlac Academy sebagai pengasas dan Presiden, sebuah institusi yang menawarkan pendidikan profesional dalam pengurusan anti-rasuah korporat. Akademi ini juga memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalam pengesanan jenayah kewangan dan pemulihan aset.-SUARAT.TV