Semak Dahulu Berita Palsu Sebelum Sebar

SEMPORNA – Rakyat di negara ini dinasihatkan supaya tidak me­nerima secara ‘bulat-bulat’ sebarang berita berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di dalam talian lebih-lebih lagi sewaktu tempoh berkempen yang sedang berlangsung ketika ini kata Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar.

Beliau berkata, ini kerana akan terdapat pihak-pihak dengan agenda tertentu yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan berita-berita palsu bagi mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memastikan berita yang diterima, disemak terlebih dahulu kesahihannya sebelum berkongsi dengan pihak lain.

“Sebagai contoh, sewaktu pe­namaan calon di Sabah, tersebar berita mengenai beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen telah dimenangi tanpa bertanding oleh sebuah parti di sini, sedangkan berita itu tidak benar.

“Itu baru penamaan calon, sekarang ini sudah masuk tempoh berkempen, maka sudah tentu akan timbul lebih banyak berita palsu mengenai PRU-14 yang dise­barkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai agenda masing-masing.

“Jadi rakyat haruslah sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima di portal Sebenarnya.my sebelum meletakkan kepercayaan ke atas berita tersebut dan berkongsi dengan pihak lain,” katanya, petik Utusan

Menurut Eneng Faridah, jika sebelum ini individu yang menyebarkan maklumat atau berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun kini kesalahan itu juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan hukuman lebih tinggi.

Dalam pada itu, kata beliau, orang ramai terutama yang mewakili parti politik tertentu diingatkan supaya tidak sesekali mengada-adakan berita palsu atau menyebar fitnah.

“Di bawah akta baharu (Akta Anti Berita Tidak Benar 2018), hukuman yang diperuntukkan adalah denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

“Pesalah boleh didakwa mengikut salah satu daripada akta tersebut, bergantung kepada pendakwa raya sejauh mana kandungan itu memberi kesan. Jika ia boleh mengganggu gugat keharmonian negara, maka boleh didakwa di ba­wah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Musim pilihan raya ini bukanlah kesempatan untuk kita menyebarkan berita palsu. Beringatlah atau bersedia untuk dikenakan hukuman berat,” tegasnya.

Mengikut perkembangan ber­ka­it­an, Eneng Faridah berkata, di Sabah sahaja, pihaknya menerima 56 aduan mengenai kandungan di dalam talian bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, 37 adu­an adalah mengenai kandu­ngan tidak benar dan 12 aduan berkaitan berita palsu yang tular di dalam talian.

“Dalam konteks di Sabah, jenis aduan berkaitan kandungan adalah paling tinggi berbanding aduan lain seperti jenayah siber, isu tiada liputan di kawasan-kawasan tertentu dan sebagainya. Ini menunjukkan masyarakat di Sabah menitikberatkan kandungan beri­ta yang sahih dan tepat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pe­ngurus Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Bubul Lama, Ramlah Roslan, 28, berkata, Siri Jelajah Sebenarnya.my telah mem­beri peluang kepada penduduk tempatan untuk mengenali Sebenarnya.my dengan lebih dekat.

Beliau berkata, tahap kesedaran komuniti setempat mengenai kewujudan portal itu sebelum ini agak rendah, namun dengan adanya penganjuran karnival ter­sebut, tahap kesedaran me­ngenainya akan menjadi lebih luas.

“Karnival ini mendapat sambutan menggalakkan dan diharapkan mereka yang hadir lebih sedar mengenai peri pentingnya memeriksa kesahihan sesuatu berita.

“Inisiatif kerajaan melalui MCMC ini pelu disambut dengan baik kerana penyebaran berita palsu sangat berleluasa ketika ini, inilah langkah terbaik untuk menanganinya,” katanya.

Pemuzik, Mazhar Abdul Salleh, 27, pula berkata, penganjuran Siri Jelajah Sebenarnya.my sangat me­riah dan perlu diadakan setiap tahun.

“Acara seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan antara penduduk dengan agensi-agensi kerajaan terutama MCMC.

“Selain memberi pendedahan mengenai program-program yang diadakan oleh kerajaan, karnival ini juga mengadakan pelbagai aktiviti menarik sekali gus memberi peluang masyarakat di sini bersantai dan berhibur,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!