Hotel dan Pusat Konvensyen TH Terima Anugerah Asia Pasifik

KUALA LUMPUR – TH Properties Sdn. Bhd. (TH Properties) meraih anugerah 5-Bintang untuk tahun kedua berturut-turut pada majlis Asia Pacific Property Awards 2018-2019 baru-baru ini.

Anak syarikat Lembaga Tabung Haji itu diumumkan sebagai pemenang dalam ka­tegori Pembinaan dan Reka Bentuk Hotel Baharu Terbaik untuk projek Hotel dan Pusat Konvensyen TH di KLIA, sekali gus diiktiraf terbaik di Malaysia bagi kategori berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, pengiktirafan peringkat antarabangsa yang dianugerahkan kepada projek-projek TH Properties menjadi penanda ukur terhadap kemajuan dan prestasi Kumpulan.

“Sebagai organisasi yang menitikberatkan mutu dan integriti, kami sentiasa mencari ruang untuk mempertingkatkan kualiti dan inovasi.

“Justeru, anugerah ini saya tujukan kepada Lembaga Pengarah, barisan kepimpinan kanan dan kakitangan Kumpulan TH Properties di atas usaha mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Hotel dan Pusat Konvensyen TH di KLIA dibina di atas tapak seluas 7.17 hektar yang menempatkan sebuah hotel bertaraf empat bintang yang akan dikendalikan oleh Movenpick Hotels & Resorts, sebuah anjung tinjau dan pusat konvensyen termasuk pusat operasi haji dan astaka.

Hotel patuh syariah itu menawarkan 333 buah bilik berserta kemudahan hotel lain seperti kolam renang berasingan untuk lelaki dan wanita, tempat permainan kanak-kanak, gimnasium, spa dan empat buah kafe serta restoran, di samping dewan bankuet yang mampu menempatkan 2,500 tetamu dan 10 buah bilik seminar.

Kompleks tersebut bakal juga menggantikan Kompleks Haji Kelana Jaya yang telah ber­operasi selama 36 tahun sebagai pusat operasi dan pelepasan haji.

Pada tahun lepas, TH Properties telah merangkul tiga anugerah 5-Bintang untuk projek-projeknya iaitu Hotel dan Pusat Konvensyen TH di Kuching, Sarawak bagi kategori Pembinaan dan Reka Bentuk Hotel Baharu Terbaik, Kompleks Islam Putrajaya (kategori Pembangunan Pejabat Terbaik) dan Bay Pavilions di Sydney, Australia (kategori Pangsapuri Terbaik). – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.