Tabung Haji Nafi Beli Singnature Tower

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) seperti yang dilaporkan dalam sebuah blog.

 

Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut, kata Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Johan Abdullah dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang sama, Johan menjelaskan TH ada membuat pelaburan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (hartanah) di TRX.

 

Ini, katanya, sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang menumpukan kepada sektor domestik.

 

“Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang teliti.

 

“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta itu adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional,” kata Johan.

 

Cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd, yang dijangka memberi pulangan positif kepada kumpulan pada masa hadapan.

 

Johan berkata TH akan terus meneroka peluang pelaburan dalam pasaran domestik seperti yang digariskan dalam rangka kerja Peruntukan Aset Strategiknya. – Bernama/Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.