Lebihan Dagangan Malaysia Pada Mac 2015 Bernilai RM7.82b

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat lebihan dagangan bulan ke-209 berturut-turut pada Mac 2015, meningkat kepada RM7.82 bilion berbanding RM4.52 bilion pada Februari, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Dagangan Mac meningkat 3.9 peratus kepada RM125.11 bilion, dengan eksport dan import masing-masing meningkat kepada RM66.47 bilion dan RM58.64 bilion, berbanding bulan sama tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata peningkatan jumlah eksport ke Amerika Syarikat, India, Hong Kong dan China, menyokong jumlah eksport yang lebih tinggi pada Mac.

 

Bagi suku pertama, Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM21.33 bilion, dengan jumlah dagangan bernilai RM345.15 bilion, terdiri daripada RM183.24 bilion eksport dan RM161.91 bilion import.

 

Pada Mac, eksport barangan perkilangan ke Malaysia menyumbang kira-kira 79.2 peratus daripada jumlah eksport bernilai RM52.67 bilion, peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

 

Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), terutama litar bersepadu elektronik, kata kementerian itu.

 

Eksport barangan perlombongan pada Mac bagaimanapun lebih rendah kepada RM7.2 bilion atau 12.5 peratus kepada jumlah eksport Malaysia, terjejas ekoran penurunan eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG) berikutan harga yang lebih rendah.

 

MITI berkata eksport barangan pertanian bernilai RM5.17 bilion pada Mac berikutan jumlah eksport minyak sawit yang lebih rendah, sebanyak RM551.1 juta, disebabkan oleh penguncupan harga.

 

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada Mac 2015 dengan nilai dagangan sebanyak RM17.16 bilion, eksport meningkat 6.6 peratus kepada RM8.3 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.

 

MITI berkata peningkatan eksport barangan E&E sebanyak RM563.3 juta, adalah penyumbang utama kepada kenaikan itu, dengan eksport lebih tinggi bagi litar bersepadu elektronik.

 

Import dari China bernilai RM8.86 bilion, peningkatan sebanyak 1.6 peratus peratus berbanding Mac 2014, katanya.

 

Perdagangan dengan Amerika Syarikat melonjak 15.2 peratus kepada RM11.27 bilion pada bulan itu, dengan eksport mencatat pertumbuhan 17.8 peratus kepada RM6.09 bilion. Import sebaliknya, meningkat 12.2 peratus kepada RM5.19 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.

 

Bagi suku pertama, eksport ke Amerika Syarikat meningkat 14.9 peratus kepada RM16.86 bilion, manakala import meningkat 1.6 peratus kepada RM12.93 bilion, mengakibatkan jumlah dagangan yang lebih tinggi daripada RM29.79 berbanding suku yang sama pada 2014.

 

Daripada 10 pasaran utama dalam Kesatuan Eropah (EU, lapan iaitu United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Belgium, Greece, Republik Czech dan Sweden, mencatatkan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi pada Mac.

 

Pada suku pertama, MITI berkata perdagangan dengan EU meningkat kepada RM35.31 bilion, dengan eksport bernilai RM17.91, manakala import berjumlah RM17.4 bilion.

 

Berbanding bulan sama tahun lalu, perdagangan dengan ASEAN meningkat 3.4 peratus kepada RM34.45 bilion pada Mac, dengan import bernilai RM16.28 bilion. Eksport bagaimanapun susut disebabkan kurangnya jumlah eksport keluaran petroleum, katanya.

 

Bagi suku pertama, perdagangan Malaysia dengan ASEAN bernilai RM92.48 bilion, disumbangkan oleh eksport dan import yang masing-masing menyumbang RM50.37 bilion dan RM42.12 bilion.

 

Dagangan Malaysia dengan Jepun pada Mac bernilai RM12.14 bilion, manakala pada suku pertama, nilainya berjumlah RM35.07 bilion. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.