Jepun Naikkan Paras Amaran Gunung Berapi Hakone

Tokyo – Jabatan Meteorologi Jepun menaikkan paras amaran berikutan aktiviti siesmik di resort popular di Gunung Hakone, sekali gus menyekat laluan ke denai pendakian.

 

Peningkatan tahap amaran itu yang disertai sekatan ke kawasan lohong pelepasan lahar gunung berapi dibuat selepas pihak berkuasa mendapati gegaran yang lebih kerap di kawasan pelancongan itu, kira-kira 80 kilometer dari Tokyo.

 

“Kami meningkatkan amaran ke tahap dua selepas mengesan gegaran semakin kuat dan daripada kedudukan yang lebih dalam,” kata seorang pegawai jabatan itu.

 

Semalam, tiga gempa kecil berlaku di kawasan itu pada ukuran 2.0 hingga 2.6 magnitud, katanya.

 

Berikutan peningkatan tahap amaran itu, majlis perbandaran Hakone mengarahkan penduduk di kawasan Owakudani dipindahkan, lokasi popular dalam kalangan pendaki yang biasanya berjalan di tengah-tengah pancutan stim daripada cerun gunung.

 

Pihak perbandaran juga menutup operasi kereta kabel dan jalan di sekitar kawasan resort itu.

 

Peningkatan aktiviti siesmik seperti gegaran dan pancutan stim panas sudah dikesan di kawasan Gunung Hakone sejak beberapa hari lalu.

 

Bagaimanapun, penyelidik belum menemui tanda peningkatan magma yang mungkin memerlukan pemindahan segera penduduk di sekitar Gunung Hakone, kata jabatan itu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.