Timba Ikan Jumpa Motosikal Curi

 

BESUT – Sekumpulan penimba ikan terkejut apabila menemui sejumlah 34 rangka motosikal dipercayai motosikal curi terbenam di dasar parit tali air di tepi jalan Kampung Gong Penaga dekat Kampung Tok Has, Jertih, kelmarin.

Yusof Salleh, 60, berkata, dia bersama penduduk kampung mula menimba air di kawasan tali air itu petang Ahad lalu dan rangka motosikal yang terbenam di dalam lumpur hanya dapat dilihat selepas air surut sepenuhnya pagi kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 11 rangka ditemui di kawasan tersebut dan kemudian dimaklumkan kepada polis.

“Selepas dimaklumkan pada sebelah pagi, anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Balai Polis Jertih datang mengambil rangka tersebut.

“Pada sebelah petang pula kami menemui lebih 23 lagi pelbagai jenis rangka motosikal di bawah jambatan parit tali air itu tidak jauh dari lokasi pertama rangka motosikal dijumpai,” katanya.

Yusof berkata, kesemua rangka motosikal itu dipercayai motosikal curi selepas pencuri mengambil komponen enjin dan bahan lain sebelum dibuang ke dalam parit tersebut.

Menurutnya, kebanyakan rangka motosikal daripada jenis Honda EX5 dan ada antara rangka motosikal kelihatan masih baru kerana dipercayai baru dibuang di kawasan berkenaan.

Katanya, tali air itu amat popular dalam kalangan pencuri motosikal kerana ketika menimba ikan di lokasi sama lebih empat tahun lalu, sebanyak 100 rangka motosikal dijumpai di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Polis, Noorzainy Mohd Noor turut berada di lokasi tersebut petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan penemuan rangka motosikal itu.

Menurutnya, kesemua rangka motosikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati sebuah daripada motosikal itu, jenis Yamaha RXZ dilaporkan dicuri di dalam rumah di Kampung Tok Dor manakala setakat ini motosikal lain belum dapat dikesan kerana nombor rangka telah tiada.

“Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk pemeriksaan kimia dan forensik,” katanya.

Kamaruddin berkata, tiada tangkapan dilakukan namun siasatan akan dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.