Abdul Aziz Soh Abdullah, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lans Koperal Lioner Richard JR dan Konstabel Zullfadzly Atlah dengan niat untuk menyebabkan kematian terhadap mangsa.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandan Indah, Ampang dekat sini pada pukul 10.52 pagi, 11 April lalu.

Tertuduh hanya mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.

Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori.