Rahsia Fouziah Gous Hindari Kontroversi

NAMA Fouziah Gous tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang seni, terutamanya bagi peminat filem dan drama tempatan.

Artis jelita tinggi lampai ini telah menempah nama dalam dunia lakonan menerusi siri Cinta Medik, Sutera Maya, Sangga Saadah dan banyak lagi.

Dengan wajah cantik dan tubuh tinggi lampai yang dimiliki, jelas bekas pramugari MAS ini mempunyai pakej lengkap untuk bertahan dalam industri hiburan tanah air, apatah lagi bakat lakonannya tidak boleh disangkal apabila berjaya merangkul  Pelakon

Harapan Wanita Popular Anugerah Shine Pantene dalam Anugerah Skrin 2007.

Boleh dikatakan sesetengah artis wanita lain yang seangkatan dengan Fouziah sering dipalit kontroversi, apatah lagi kontroversi sememangnya sinonim dengan selebriti popular berwajah jelita.

Bagaimanapun, agak jarang kedengaran kontroversi atau cerita negatif yang dikaitkan dengan teraju drama Trilogi Cinta ini.

Ini kerana Fouziah sendiri bijak mengawalnya dengan menjadi diri sendiri serta mengawal pergaulan dengan lelaki.

Akui Fouziah, jika artis lain risau kehidupan sosial mereka akan terbejat dan diperhatikan masyarakat setelah bergelar selebriti, dia langsung tidak tertekan dengan situasi tersebut.

“Saya senang dan selesa berada dalam industri hiburan. Caranya mudah, cuma perlu ikhlas dan jadi diri sendiri, mesti takkan tertekan duduk dalam industri.

Saya memang seorang yang sangat rapat dengan keluarga. Saya jaga pergaulan dan elakkan untuk berdua-duaan dengan lelaki jika tiada sebab. Masa zaman sekolah lagilah saya tak pernah keluar dengan mana-mana lelaki.

Saya percaya dengan menjalani kehidupan sosial yang sihat, kita akan lebih mudah terhindar dari kontroversi. Tapi kalau ada kontroversi yang melibatkan diri, saya anggap itu teguran untuk memperbaiki diri saya ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Belum ada rezeki

Ada yang menyifatkan pelakon Sifu & Tongga ini kurang aktif dalam lakonan setelah berkahwin dengan jejaka pilihannya, Zhafran Yusof pada tahun lalu.

Hakikatnya, pelakon yang bakal menginjak ke usia 32 tahun ini boleh disaksikan oleh penonton menerusi drama Lembayung Kasih di RTM dan Masihkah Ada Cinta di slot Samarinda TV3 yang telah mula bersiaran minggu ini.

“Ada projek lakonan saya dalam tempoh untuk disiarkan dan ada yang masih dalam peringkat penggambaran.

“Bagi saya, selepas kahwin komitmen kita semakin besar. Tak boleh nak perasan bujang dan sibukkan diri dengan penggambaran sebab kita ada tanggung jawab pada keluarga.

“Buat masa sekarang, Alhamdulillah kerjaya seni saya boleh dikatakan seimbang dengan perniagaan dan tanggung jawab saya sebagai isteri. Tawaran lakonan sentiasa ada, tapi saya kena bijak pilih supaya ada masa untuk keluarga dan perniagaan,” katanya.

Masih belum dikurniakan cahaya mata, Fouziah menjelaskan perkara tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh dirancang oleh manusia.

“Saya berserah pada rezeki. Perkara seperti anak bukan kita yang rancang dan tentukan. Walaupun ALLAH belum kurniakan saya anak, Dia bagi rezeki dalam banyak cara yang lain,”  kata Fouziah yang semakin murah rezeki dengan perniagaan yang diusahakan.

Ubah mentaliti orang Melayu

Sudah tentu ramai yang telah mengetahui Fouziah turut merupakan seorang pengusaha makanan kesihatan berasaskan sarang burung walet jenama FG Walet/My Walet Bird Nest.

Produk itu turut dipasarkannya secara online dan mendapat permintaan tinggi bukan sahaja oleh warga tempatan, malah orang dari Brunei dan Singapura yang mengetahui khasiat sarang burung walet ini.

Ketika ditanya mengapa sarang burung walet yang menjadi pilihannya berbanding suplemen kesihatan yang lain, Fouziah menjelaskan matlamatnya untuk mengubah mentaliti masyarakat Melayu yang menganggap produk berasaskan sarang burung walet ini tinggi harganya dan tidak mampu untuk diamalkan.

“Kalau kita tengok sejarah orang yang ambil sarang burung walet dari zaman dinasti China dulu biasanya golongan raja dan orang-orang kaya. Jadi orang kita dah ada ‘mindset’ yang kata benda ni mahal.

Tapi ramai orang masih tak tahu kebaikan sarang burung walet ni. Jadi, saya ingin bantu orang Melayu kita sendiri untuk jaga kesihatan guna produk dengan harga berpatutan ni,” katanya.

Tambahnya, faktor kekurangan atau boleh dikatakan belum ada pasaran produk sarang burung walet secara luas di Malaysia telah menggesa Fouziah untuk mengusahakan perniagaan ini secara serius.

“Saya memang percaya dengan produk sarang burung. Masa mula-mula saya ambil produk ni, saya tetap bertenaga walaupun selalu tak cukup tidur.

Bisnes sarang burung ni bukan untuk buat untung semata-mata. Ini adalah ciptaan semula jadi ALLAH, jadi bagus untuk kita amalkan demi jaga kesihatan,” ujar pelakon filem Otai ini.

Ujar Fouziah, sarang burung walet bagus untuk jantung, kecantikan kulit dan rambut serta kesihatan ibu mengandung.

“Kalau kita tengok secara logik, kulit dan IQ orang Cina yang dah amalkan sarang burung walet sejak dulu memang bagus. Jadi, saya ingin orang kita amalkannya juga sebab ia tak ada bahan kimia dan kesan sampingan. Cuma ada sedikit gula batu sebagai penambah rasa,” katanya.

Fouziah kini dalam proses menukar pembungkusan produk sarang burung waletnya agar kelihatan lebih ‘Malaysia’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.