MB Terengganu : Tiada Sebarang Perubahan

Petaling Jaya – Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dijanjikan kekal memegang jawatan itu oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, kata pemimpin Umno negeri hari ini.

Najib membuat pengumuman tersebut dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno di Kuala Lumpur hujung bulan lalu, dakwa Ketua Penerangan Umno negeri Terengganu, Datuk Senator Abdul Rahman Bakar.

“Tidak akan ada pertukaran jawatan menteri besar. Kita berpegang kepada janji Datuk Najib. Datuk (Seri) Najib kata tidak akan tukar menteri besar Terengganu.

“Kita nak percaya Datuk (Seri) Najib atau orang lain..Datuk Najib buat pengumuman ini dalam mesyuarat MT Umno dua minggu lalu,” kata Abdul Rahman lagi.

Bekas ahli parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus bahawa Ahmad akan digantikan dengan pemimpin lain dalam masa terdekat.

Dua nama disebut mengambilalih tempat Ahmad iaitu Adun Seberang Takir Ahmad Razif Abdul Rahman dan Adun Air Puteh, Wan Hakim Tan Sri Mokhtar.

Spekulasi mengenai pertukaran Ahmad berlegar sejak beberapa minggu lalu apabila ada laporan mengatakan dua menteri besar akan digantikan.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut nama menteri besar berkenaan tetapi ia difahamkan menjurus kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

 

`Tidak dengar perubahan’

Manakala bekas Setiausaha Umno Dungun, Datuk Zaaba Mohd Adib juga penuh yakin Ahmad tidak akan ditukarkan.

Beliau yang juga bekas exco kerajaan negeri Terengganu berkata, Najib sendiri berjanji akan mengekalkan Ahmad sebagai menteri besar.

“Saya tidak dengar sebarang perubahan baru selepas pengumuman perdana menteri itu. Pertukaran Datuk Ahmad hanya khabar angin.

“Tidak ada sebab menukar sekarang memandangkan kedudukan kerusi BN hanya 17 manakala pembangkang 15,” katanya.

Zaaba berkata, rakyat Terengganu menyokong kepimpinan menteri besar dan tidak ada sebarang masalah kepada negeri.

Ahmad menjadi Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh pada pilihan raya umum tahun 2008.

Zaaba juga menjelaskan Umno negeri tidak lagi berpecah ekoran Idris tidak lagi dilantik sebagai menteri besar Terengganu.

“Ini kerana ramai orang Idris sudah tidak bertanding dalam pilihan raya umum Mac tahun lau,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.