Mahligai Cinta Liza Abdullah Musnah

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula rumah tangga. Benar, setiap pasangan berkahwin pasti mahu perkahwinan yang kekal hingga ke jannah, tetapi dugaan itu sesuatu yang kita tidak boleh lari.

Ada yang kuat meneruskan dugaan dalam senyuman walaupun hakikatnya, hati sedang menangis. Jika tidak tertahan, jalan perpisahan jadi penyelesaian.

Di celah-celah kehidupan selebriti tempatan, satu persatu kisah pergolakan rumah tangga disiarkan di dada akhbar.

Bukan mahu mencungkil kisah peribadi artis, tetapi itulah yang perlu dibayar apabila bergelar seorang artis, kehidupan peribadi menjadi perhatian.

Tetapi,apa yang mengejutkan ialah penceraian yang berlaku antara dramatis, Liza Abdullah, 50, dan bekas suaminya Zolkefli Abdul Rahman, 58, pada 24 Februari lalu.

Masakan tidak, perkahwinan yang dibina hampir 26 tahun akhirnya berakhir dengan sebuah perpisahan.

Bertemu dengan Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah sewaktu sesi latihan teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Mega sempat bertemu dan menyelami perasaannya setelah memegang status Miss J atau janda.

Sudah lama berasingan

Bagi Liza, manusia melalui pelbagai cubaan dan rentetan dalam kehidupan tetapi dia mengakui tabah dalam menerima suratan hidup yang telah ditentukan.

“Pada usia sebegini, saya terpaksa menghadapi dugaan yang macam ini, tetapi saya tetap teruskan macam biasa.

“Mungkin ada yang tanya mengapa umur perkahwinan dah sebegini dan boleh jadi macam ini, itu saya tidak boleh terangkan.

“Dalam persahabatan pun, kalau kita sudah berkawan selama 30 tahun dan tidak ada ketelusan dalam persahabatan itu, kita akan mula menjarakkan hubungan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, setiap penceraian itu terjadi bersebab dan antara kehidupannya dengan bekas suami adalah dugaan mereka.

“Rasanya orang lain tidak perlu tahu masalah yang kami ada tetapi saya bersyukur sangat kepada Allah kerana setelah terjadinya kejadian ini, hubungan kami lebih baik daripada sebelumnya,” tambahnya.

Keselesaan itu jelas Liza nyata berbeza berbanding sebelum, terutamanya melibatkan komunikasi antara mereka.

“Saya meneruskan kehidupan seperti biasa kerana ramai yang tidak tahu sebenarnya saya dah lama hidup bersendirian di Kuala Lumpur.

“Kami tidak bergaduh, tetapi hanya tinggal berasingan. Sebelum ini komunikasi tidak baik tetapi sekarang, Alhamdulillah sudah menjadi lebih baik.

“Sebagai seorang wanita, saya tidak mahu ambil tindakan terburu-buru. Walaupun sudah ada dugaan sebelum ini, saya tidak mahu anak-anak terputus hubungan.

“Malah, anak-anak yang kecil masih tidak tahu yang sebenarnya kami sudah berpisah dan itu yang saya sedih dan ralat,” jelasnya.

Melalui perkahwinan bersama Zolkefli pada 27 Ogos 1988, Liza dikurniakan empat orang anak Zulhaffiz Zarriq, 25, Nur Naffiz Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10.

Zolkefli lelaki baik

Liza mengakui liputan tentang kes penceraiannya adalah sesuatu harga yang perlu dibayar oleh seseorang yang bergelar selebriti.

“Sebenarnya orang biasa pun ada yang berlaku penceraian. Bukan kita kata hendak tutup apa yang berlaku dalam rumah tangga tapi kita cuba cari penyelesaian.

“Tetapi bila orang luar dah tahu, itu yang buat cerita itu menjadi semakin liar sampai ada wartawan bertalu-talu hubungi saya.

“Akhirnya ia sedikit sebanyak mengganggu kehidupan saya sebenarnya. Tetapi artis atau tidak selepas bercerai kehidupan mesti diteruskan seperti biasa,” jelasnya.

Menurut Liza, daripada dulu lagi dia sukar hendak menceritakan tentang hal rumah tangganya.

“Sebab itu dalam masa tiga tahun lepas, bila orang dah mula buka cerita tentang rumah tangga, saya tetap mengatakan yang rumah tangga saya masih baik.

“Walaupun ketika itu sudah pun berlaku sebenarnya tapi saya tetap cakap tidak dan cuba cari jalan penyelesaian dan akhirnya berpisah dengan cara yang baik,” turut Liza.

Apa yang diharapkan oleh Liza kini ialah agar kisah penceraian ini tidak diperbesarkan.

“Sebenarnya, Zolkefli adalah individu yang sangat baik dan sempurna. Cuma dugaan kami berdua, hanya kami berdua yang perlu tahu,” ujarnya.

Menjelaskan hubungannya kini, jelas Liza, dia masih berhubungan baik dengan anak-anak dan suami.

“Baru-baru ini saya ada penggambaran di Rengit, Johor. Kebetulan pula dekat dengan rumah mertua. Selesai kerja, saya balik dan tidur di sana.

“Hubungan itu masih baik. Dugaan ini menampakkan lagi yang bekas suami saya semakin ambil berat dengan saya.

“Apatah lagi bekas suami pernah cakap dengan anak sulung saya yang dia takut orang di Kuala Lumpur akan mempermainkan saya.

“Jadi dia masih ambil berat dan itu yang saya merasakan hubungan kami akan menjadi sebagai seorang rakan karib,” jelasnya.

Tambah Liza lagi, dia turut menyifatkan bekas suaminya itu sebagai seorang yang tidak tamak walaupun mahkamah telah memutuskan anak dimiliki oleh Zolkefli.

“Saya tidak ada masalah untuk berjumpa anak-anak. Saya tidak mahu bila kami berpisah, anak jadi rebutan dan jadi permasalahan antara kami.

“Kami masih menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan ia tidak menjadi satu masalah,” ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.