Hudud : Antara Kelantan, Terengganu Dan Brunei

Petaling Jaya – Mengapa tiada keseragaman? Hukum hudud Brunei untuk semua orang Islam dan bukan Islam tetapi hukum hudud Kelantan dan Terengganu untuk orang Islam sahaja. Kenapa ada perbezaan di antara Brunei dengan Kelantan?

Sekarang sudah jelas terbukti bahawa hudud yang diperkenalkan oleh PAS penuh dengan kecelaruan. Oleh itu jawatankuasa teknikal yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diharapkan dapat menyeragamkan kandungan hukum hudud Kelantan dan Terengganu.

Sehingga kini ada tiga versi hudud PAS yang masing-masing berbeza. Pertama hudud Pas Kelantan yang bernama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 mempunyai 72 fasal.

Kedua hudud Pas Terengganu yang dibentang dalam seminar pada 12 Mei 2002 bernama Draf Cadangan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu mempunyai 74 fasal.

Ketiga Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M yang mengandungi 67 fasal sahaja.

Mana satukah hudud yang sebenar antara ketiga-tiga hudud PAS itu? Draf yang dibentangkan pada seminar di Kuala Terengganu 12 Mei 2002 ada Bughah (Fasal 23, 24 dan 25).

Sedangkan dalam EKJS (II) 1993 Kelantan dan rang yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 7-9 Julai 2002 tidak ada Bughah.

Mengapakah bughah diketepikan dalam kedua-dua undang-undang hudud itu?

Mengapakah berlaku beberapa peruntukan dalam rang enakmen yang dibentangkan di DUN Terengganu 7-9 Julai 2002 tidak ada dalam EKJS (II) 1993 Kelantan?

Apakah EKJS (II) 1993 Kelantan itu tidak menepati hudud Allah? Misalnya rang yang diluluskan di DUN Terengganu ada kesalahan rogol dan ia diperakui pula sebagai kesalahan hudud {(Fasal 9(1) & (2)}.

EKJS (II) 1993 Kelantan juga tidak ada peruntukan yang menyebabkan kesalahan zina tidak boleh dijatuhkan.

Sedangkan dalam rang yang diluluskan oleh DUN Terengganu fasal 17 (a-h) memperuntukkan lapan keadaan apabila berlaku mana-mana satu daripadanya menyebabkan kesalahan zina ke atas tertuduh itu tidak boleh dikenakan.

 

Zina

Dua daripadanya sebagai contoh ialah `Kedua pasangan tertuduh berkahwin (17e)’ dan `Apabila zina itu berlaku dengan kekerasan, sihir, pukau, minuman atau guna ubat-ubatan (17f).’

Begitu juga fasal 18 rang EKJS (Hudud dan Qisas) Terengganu memperuntukkan kesalahan zina mahram. Sedangkan tidak ada dalam EKJS(II) 1993 Kelantan. Fasal 18 ini juga tidak ada dalam Draf Undang-Undang yang dibentangkan dalam seminar 12 Mei 2002 itu.

Hudud apakah yang PAS taja? Dua negeri pun boleh berbeza dan sesama sendiri di Terengganu pun jelas tidak serupa.

Ini pula dibentangkan tiga peruntukan yang ada dalam EKJS (II) 1993 Kelantan, tetapi tidak dipakai terus dalam Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M?

Pertama musahaqah fasal 19 (menggesel-gesel sesama faraj atau dikenali juga dengan panggilan Lesbian). Kedua itiyyan al-maitah fasal 20 (setubuh dengan mayat). Dan yang ketiga itiyan al-bahimah fasal 21 (setubuh dengan binatang).

Kecelaruan begini membuktikan bahawa ia dibuat secara bergopoh-gapah dan tidak ada usaha sama untuk penyelarasan di antara mereka. PAS mestilah bertanggungjawab penuh dengan segala keraguan yang timbul di kalangan orang ramai sehingga telah menjejaskan imej hudud Allah yang sebenar.

Ada lagi beberapa kecelaruan seperti Fasal 21 dalam rang EKJS (Hudud dan Qisas) Terengganu menggariskan 20 perkara yang menyebabkan tidak boleh dikenakan hukuman hudud mencuri. Sedangkan dalam EKJS(II) 1993 Kelantan hanya 15 perkara sahaja.

Satu perkara yang berupa prinsip paling penting ialah hakim. Dalam urusan pelantikan hakim terdapat dua percanggahan besar. Pertama tidak merujuk langsung kepada 15 syarat kelayakan menjadi hakim mengikut hukum syarak.

 

Hakim

Yang kedua rang EKJS (Hudud dan Qisas) Terengganu tidak ada peruntukan khusus mengenai syarat-syarat kelayakan menjadi hakim. Sebaliknya sekadar disentuh secara tumpang dalam fasal 66 (1) Mahkamah Bicara Syariah Khas yang berbunyi “…daripada hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau daripada seorang yang berkelulusan dan berkelayakan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.”

Yang peliknya apa yang dibentangkan dalam seminar 12 Mei 2002, bulat-bulat PAS Terengganu mencedok fasal 68 EKJS (II) 1993 Kelantan menjadi fasal 70 dalam `Draf Cadangan’ yang dibentang pada seminar di Kuala Terengganu. Tiba-tiba dalam rang yang diluluskan di DUN 7-9 Julai 2002 terus dibuang sahaja fasal berkenaan.

Apakah peruntukan fasal 68 EKJS (II) 1993 Kelantan itu tidak diiktiraf oleh PAS Terengganu?

Tetapi harus diingat, apabila tidak mengikut syarat-syarat kelayakan dalam Islam maka seseorang hakim itu tidak sah melakukan perbicaraan. Dengan itu seluruh proses Mahkamah Syariah Khas di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu menjadi tidak sah.

Ada dua fasal dalam rang EKJS (Hudud dan Qisas) Terengganu itu membuktikan Datuk Seri Abdul Hadi juga keliru. Kalaulah beliau yang menjadi tuan empunya sendiri pun keliru maka tidak hairanlah rang EKJS (Hudud dan Qisas) Terengganu menjadi bercelaru.

Pertama mengenai `kenyataan Qarinah hamil atau melahirkan anak bagi wanita yang tiada suami menjadi bukti kesalahan zina {Fasal 49(2)}’ adalah ternyata membebankan wanita.

Bagaimanapun kenyataan Abdul Hadi semacam tidak faham dan bercanggah dengan enakmen. Mengikut temu ramah Mingguan Malaysia yang disiarkan pada 9 Jun 2002, Abdul Hadi berkata, “Kehamilan boleh dijadikan bukti tetapi tidak cukup dengan itu sahaja untuk menjatuhkan hukuman hudud, sebaliknya mesti ada keterangan-keterangan yang jelas. Sebab itu mazhab Shafie mengatakan orang yang hamil tidak boleh dijatuhkan hukuman hudud, mestilah dia dengan rela mengatakan dia telah berzina.”

Mengapakah Abdul Hadi tidak menjelaskan rasionalnya enakmen itu? Sebaliknya membuat kenyataan yang bercanggah terus dengan enakmen. Mengapakah tidak dipinda sahaja fasal 49(2) itu? Kekeliruan yang kedua ialah mengenai pemakaian enakmen ini hanyalah ke atas orang Islam sahaja. Sedangkan orang bukan Islam diberikan pilihan {Fasal 59(1) dan (2)}.

Baca : Kandungan Hudud Di Brunei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.