Raja-Raja Ada Kepakaran, Tidak Dipengaruhi Dalam Isu Statut Rom

KUALA LUMPUR – UMNO memahami kekecewaan yang dihadapi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) kerana terpaksa membatalkan ratifikasi Statut Rom.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, kerajaan tidak seharusnya memberi alasan dengan menuduh pihak lain kononnya menyebabkan perkara itu berlaku.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan PH terlebih dahulu harus merujuk dan berbincang secara mendalam melibatkan Parlimen, Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatangani statut itu.

“Isunya bukan sekadar baik buruk Statut Rom pada negara, tetapi cara dan proses yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah.

“Janganlah pula menuduh Raja-Raja cuba dipengaruhi. Perlu diingat Raja-Raja bukanlah individu tanpa kelayakan. Ada kalangan Raja-Raja berkelulusan Doktor Falsafah (PhD). Raja-Raja Melayu juga mempunyai penasihat terdiri daripada pakar-pakar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata, keputusan menarik diri daripada menyertai Statut Rom dibuat dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja.

Statut itu ditandatangani pada 4 Mac lalu tanpa makluman serta perbahasan di Parlimen dan dikatakan tanpa melalui persetujuan Majlis Raja-Raja.

Annuar berkata, UMNO mengalu-alukan keputusan menarik balik tersebut namun menjelaskan tidak timbul ia berlaku akibat tekanan politik, kerana menganggap keputusan Kabinet menandatangani statut itu sendiri adalah keputusan politik.

“Kita tahu Raja-Raja telah mengambil pelbagai langkah penuh cermat dan bebas politik dalam usaha memahami dan meneliti isu penting ini.

“Raja-Raja juga difahamkan telah membuat keputusan secara konsensus sesama mereka. Raja-Raja juga secara berhemah menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong menyampaikan pendirian. Maka kerajaan harus menghormati tindakan itu dan tidak harus cuba mempolitikkannya,” katanya.

Beliau juga berkata, perlu diketahui bahawa dua Peguam Negara sebelum Tommy Thomas telah menasihatkan kerajaan agar tidak perlu bagi Malaysia menyertai triti itu.

Beliau pada masa sama berkata, perlu diketahui bahawa kuasa besar dan anggota tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China tidak menandatangani Statut Rom manakala hanya Kemboja sahaja merupakan negara Asia Tenggara yang menyertai statut tersebut. – UTUSAN

Lain-Lain Berita;-

Lim Kit Siang Kecewa Kerajaan PH Dipaksa Tarik Balik Ratifikasi Statut Rom & ICERD

Kerajaan PH Tarik Balik Ratifikasi Statut Rom Kerana Bimbang Digulingkan – Menteri

Statut Rom, ICERD Bercanggah Dengan Perlembagaan Negara – Sultan Johor

Dr Mahathir Umum Tarik Balik Ratifikasi Statut Rom Selepas Dikritik Pelbagai Pihak

Kebanyakan Menteri Mahu Ratifikasi Statut Rom, Dakwa Tak Bercanggah Perlembagaan

TH Rugi RM10 Bilion Tahun 2018, PH Rancang Tuduh Kerugian Itu Dari Tahun 2017 – Najib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.