Duterte Pertahan Lelaki Curang

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berdepan kritikan semalam kerana mempertahankan kecurangan yang dilakukan oleh sekutu politiknya.

Duterte pernah berkata bahawa Speaker Dewan Perwakilan, Pantaleon Alvarez mempunyai “ramai isteri” seperti dirinya. Alvarez sebelum ini mengaku beliau mempunyai beberapa wanita simpanan.

“Dunia ini penuh hipokrit. Siapa antara kamu di sini tidak mempunyai wanita simpanan?” kata Duterte dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Filipina malam kelmarin.

Kenyataan itu mengundang kecaman golongan konservatif yang menentang perceraian dalam institusi keluarga.

Majoriti rakyat Filipina menganuti ajaran Kristian Katholik.

“Kenyataan seksis dan antiwanita ini digunakan (oleh Duterte) untuk mempertahankan perbuatan tidak wajar hanya kerana beliau seorang lelaki.

“Ia menjejaskan usaha dan kejayaan yang dicapai hari ini dalam memperjuangkan hak wanita dan kesaksamaan gender,” kata seorang wakil rakyat, Senator Risa Hontiveros.

Alvarez merupakan pegawai keempat tertinggi di Filipina dan sahabat karib Duterte.

Ahli politik itu menjadi tajuk utama akhbar tempatan sejak seminggu lalu apabila beliau mengaku menjadi bapa kepada lapan orang anak, enam daripada mereka bersama dua wanita yang bukan isterinya.

Dalam ucapan sama, Duterte mengaku bahawa komennya mempertahankan kecurangan Alvarez merupakan kenyataan cauvinis.

“Namun, di dunia ini terdapat begitu ramai wanita (cantik) dan hidup anda pula singkat. Oh tuhan,” kata Duterte yang disusuli gelak ketawa orang ramai.

“Apa yang penting ialah anda mampu menyara anak-anak anda. Itu sahaja,” tambahnya.

Kata Duterte lagi, Alvarez boleh memiliki ramai teman wanita kerana beliau bukan beragama Kristian yang membenarkan lelaki mempunyai satu isteri sahaja.

Ramai pengkritik Duterte di Filipina bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat beliau.

Mereka berkata, walaupun Alvarez yang beragama Islam dibenarkan berkahwin lebih daripada satu, perbuatannya berzina adalah satu kesalahan jenayah.

Duterte, 72, menjalinkan hubungan jangka panjang dengan seorang wanita selepas perkahwinannya dibatalkan dan pernah bermegah kerana mempunyai beberapa wanita simpanan. – AFP/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.