Pelajar Dakwa Dipukul Ustaz Hingga Patah Tangan

BALING – Seorang pelajar perempuan tingkatan satu mendakwa tulang tangannya patah, selepas seorang guru membaling kerusi ke arahnya, pada Isnin lalu.

 

Farah Izzati Mohd Rohaizad, 13, berkata dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dia bersama dua rakannya, Siti Farhana Mohd Ayub, 13, dan Irdina Safiyya Amran, 13, dipanggil seorang ustaz ke dewan makan sekolah menengahnya itu untuk mengaji al-Quran.

 

Ketika sampai di dewan, ustaz berkenaan bertanya sama ada mereka boleh membaca atau tidak, tetapi Farah Izzati memberitahu dia uzur dan tidak boleh membaca al-Quran.

 

Semasa Farah Izzati mahu mengambil tempat di kerusi berdekatan dengannya di dewan makan itu, ustaz berkenaan tiba-tiba membaling sebuah kerusi plastik dan terkena bahagian pinggangnya.

 

Dia kemudiannya terus beredar menemani seorang rakannya untuk mengambil al-Quran.

 

“Selepas kembali ke dewan makan dan mendapati tiada al-Quran di hadapan saya, kepala saya dihentak kali kedua dengan kerusi, namun saya sempat menahan kepala sehingga kerusi berkenaan terkena belakang tangan kanan saya,” katanya.

 

Hasil pemeriksaan doktor di Hospital Daerah Baling mengesahkan dua tulang di belakang telapak tangan kanan pelajar itu mengalami keretakan dan patah.

 

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Rohaizad Abdullah, 36, amat kesal dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu, kerana ia sepatutnya tidak berlaku.

 

“Banyak lagi cara lain untuk diambil tindakan ke atas anak saya itu, jika dia benar-benar bersalah, bukan dengan cara memukulnya sehingga mencederakannya,” katanya yang telah membuat laporan polis semalam.

 

Beliau turut kesal dengan pihak sekolah yang didakwa tidak memaklumkan kejadian itu kepadanya dengan segera, sebaliknya mereka menunggu keesokan harinya untuk berbuat demikian.

 

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shariffudin Yusof mengesahkan telah menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.