MB Pahang Bersama 1,000 Jemaah Tunai Solat Istisqa Mohon Hujan

KUANTAN — Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob malam tadi menyertai 1,000 jemaah menunaikan solat sunat istisqa bagi memohon hujan di Masjid Tepian Putra di sini.

 

Solat sunat dua rakaat itu diadakan ekoran cuaca panas yang melanda negara sejak beberapa bulan lalu, diimamkan oleh Nuri Ali Arbain, bekas peserta program dakwah TV, Imam Muda.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan Datuk Fadzilla Salleh.

 

Turut diadakan selepas solat sunat itu ialah bacaan Yassin dan majlis tahlil untuk anggota keluarga Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 4 Mac lalu.

 

Kakak Sharifuddin, Rosmani, 65, meninggal dunia selepas kereta yang dipandu anaknya Azhar Abdul Rahim, 44, terlibat kemalangan dengan treler di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah Selatan dekat Jelapang, Ipoh.

 

Turut meninggal dunia ialah anak Azhar iaitu Aizat Azhar, 18, dan Danial Azhar, 13.

 

Semasa itu, mereka dalam perjalanan ke Shah Alam bagi mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) salah seorang mangsa yang belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD). — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.