Laporan Siasatan PAC Isu 1MDB Buktikan Tuduhan Mahathir Palsu – PM

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  yang  dibentang di Parlimen hari ini jelas membuktikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (!MDB) adalah tidak benar.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berdasarkan laporan PAC itu, ternyata bahawa dakwaan Dr Mahathir terhadap 1MDB adalah palsu.

 

“Beliau didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan negara dan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan,” kata Najib menerusi laman rasmi NajibRazak.com.

 

Katanya, atas arahan beliau, Kabinet meminta Ketua Audit Negara menjalankan siasatan bebas ke atas akaun kewangan 1MDB ekoran pelbagai dakwaan terhadap syarikat tersebut termasuk tuduhan Dr Mahathir bahawa RM 42 bilion telah hilang.

 

“Untuk memastikan bahawa ini adalah satu proses yang telus, kita juga mengarahkan siasatan itu disemak semula oleh PAC – sebuah badan yang turut dianggotai ahli-ahli parlimen pembangkang,” jelasnya.

 

Perdana Menteri berkata di samping menunjukkan bahawa dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir itu adalah tidak betul, laporan itu telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB.

 

“Kami akan teliti dan bertindak ke atas syor-syor dalam laporan itu. Kami akan memastikan pengajaran diambil daripadanya, dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang bukti kesalahan telah dilakukan,” katanya bagi mengulas laporan itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Katanya, laporan itu adalah keputusan berdasarkan kepada fakta penyiasatan yang mengambil masa lama.

 

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana menghasilkan laporan yang komprehensif, muktamad dan muktamad.

 

“Kita akan terus memberi tumpuan kepada pelan mengukuhkan ekonomi  supaya berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,” ujarnya lagi. – Bnbbc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.