Khairul Idham Terima Insentif RM100,000 – MB Perak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan insentif RM100,000 kepada pelumba negara Khairul Idham Pawi bagi mengiktiraf kejayaannya memenangi kejohanan MotoGP Dunia dalam Kategori MOTO3 di Grand Prix Motosikal Argentina baru-baru ini.

 

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata insentif itu diharap dapat mendorong remaja berusia 17 tahun berkenaan untuk lebih berjaya pada masa akan datang dan menjadi contoh kepada belia di negeri itu.

 

Menurut beliau, susulan kejayaan Khairul Idham juga, kerajaan negeri akan meneliti keperluan mewujudkan litar di setiap daerah berdasarkan permintaan tinggi oleh belia di Perak.

 

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di pejabatnya di sini hari ini, Zambry berkata, RM60,000 daripada sumbangan itu telah pun diserahkan melalui Pejabat ADUN Kampung Gajah sebelum Khairul Idham berlepas ke Argentina.

 

Ekoran kejayaan remaja itu, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menambah RM40,000 lagi sumbangan.

 

“Kita telah meluluskan sebanyak RM60,000 sewaktu itu, namun kebetulan ketika itu beliau sudah pun bertolak ke Argentina dan wang yang diluluskan itu telah masuk ke Pusat Khidmat Kampung Gajah.

 

“Dengan kejayaan beliau ini kita tambah lagi sebanyak RM40,000 sebagai pengiktirafan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

 

Khairul, yang mewakili pasukan Honda Team Asia mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam perlumbaan 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo, sekali gus menyaksikannya memungut 25 mata untuk melonjak pada kedudukan keempat dari tempat ke-22 selepas dua pusingan.

 

Sehubungan itu, Zambry dengan tegas berkata, isu seperti wang pembiayaan tidak perlu diperbesar-besarkan seolah-olah kerajaan negeri hanya membantu Khairul Idham selepas beliau berjaya.

 

“Adalah tidak wajar pihak-pihak di luar sana untuk membuat penilaian seperti ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.