Guan Eng Berdolak-Dalik Isu Taman Manggis – Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan membidas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana tidak menjawab persoalan pokok berhubung penjualan tanah Taman Manggis di negeri itu.

 

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, Guan Eng selaku Ketua Menteri patut lebih mengetahui berhubung penjualan tanah berkenaan dan bukan bertanya kembali bagaimana dokumen penjualan tanah itu diperolehi.

 

Guan Eng semalam melahirkan kehairanan bagaimana Abdul Rahman memiliki dokumen perjanjian jual beli berkenaan sedangkan beliau sendiri selaku Ketua Menteri Pulau Pinang tidak memiliki dokumen itu.

 

“Biasanya dalam penswastaan kerajaan, bila mana syarikat yang telah diberikan konsesi atau membeli tanah kerajaan, untuk bertukar tangan saham itu mesti dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

 

“Persoalannya, mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak tahu tentang pertukaran saham ini kerana dokumen itu dokumen yang sahih. Ia ditandatangi oleh pembeli dan penjual dan pihak peguam, ia dicop dan di-stamp. Bermakna ia dokumen yang tulen.

 

“Jangan tanya saya kenapa kerajaan Pulau Pinang tidak tahu tentang dokumen itu. Saya yang sepatutnya tanya beliau, bukan beliau tanya diri sendiri,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perumahan Negara petang tadi.

 

Guan Eng semalam mendakwa tanah Taman Manggis masih lagi di bawah hak milik Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC), sekaligus menafikan dakwaan bahawa tanah itu dijual kepada pihak ketiga seperti yang didedahkan Abdul Rahman.

 

Dakwa Guan Eng, beliau mempunyai geran tanah yang jelas menunjukkan tanah itu di bawah pegangan KLIDC menerusi semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Mengulas berhubung perkara itu, Abdul Rahman berkata, walau sistem di SSM mengatakan tiada berlaku pertukaran pegangan syarikat, namun ia tidak bermakna pertukaran itu tidak berlaku.

 

“Saya nak ingatkan bahawa kemas kini dalam SSM tak akan berlaku bila hari ini saham bertukar tangan dan SSM akan kemas kini dalam sistem mereka.

 

“Walau dia periksa hari ini, SSM masih mengatakan syarikat itu mempunyai pemegang saham lama, (tapi) itu tak bermakna tak ada pertukaran dari segi pegangan saham,” ujar Abdul Rahman.

 

Abdul Rahman dalam pada itu mencabar Guan Eng untuk ke depan bagi menangkis pendedahan yang beliau semalam.

 

“Biar rakyat faham, saya ke depan dengan harapan beliau juga ke depan dengan jawapan. Idea ‘romantik’ beliau untuk minum kopi dengan ahli parlimen dan menteri, itu sungguh Lim Guan Eng.

 

“Sebagai penyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang beliau patut ke depan, bukan dalam satu tempat yang saya dengan beliau minum kopi,” katanya yang turut menyatakan kesediaan untuk berdebat sekiranya perlu berbuat demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.