‘Tiap Kali TunM Marah, Kena Letak Jawatan, Bila Nak Selesai’

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kepimpinan Perdana Menteri seharusnya dilihat sebagai  kepelbagaian kepimpinan.

 

Menurutnya mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir seharusnya memberikan peluang dan sokongan kepada Datuk Seri Najib dan bukan menyerang dengan isu-isu yang bersifat peribadi.

 

“Apabila beliau (Najib) menjawat jawatan tersebut sudah pasti niat dan hasratnya mahu melihat pembangunan negara dan yang paling penting sudah pasti kejayaan dari segi pendidikan dan sebagainya… kerana kalau kita tengok beliau hanya menyambung legasi kepimpinan Perdana Menteri terdahulu.

 

“Jadi TunM seharusnya memberikan kepercayaan dan sokongan kepada Datuk Seri Najib, kerana semasa menjawat jawatan PM selama 22 tahun, kepimpinan Umno telah memberikan sokongan yang padu kepada beliau sehingga dapat melaksanakan dasar kerajaan” katanya kepada SuaraTV ketika memberikan maklumbalas terhadap serangan peribadi yang dilakukan oleh Tun Mahathir.

 

Ahli parlimen Padang Terap itu ketika ditemui di ruang legar Dewan Rakyat sebentar tadi turut menggesa agar Tun Mahathir meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan yang ada sekarang.

 

“Setiap kali bila beliau marah dengan pemimpin itu, dia mahu orang itu berundur namun saya rasa itu bukan satu penyelesaian secara menyeluruh kepada masalah tersebut.

 

“Beliau pernah mendesak Tun Abdullah hingga memaksanya untuk pergi (berundur) atas sebab itu Tun Mahathir seharusnya meletakkan kepercayaan bahawa Datuk Seri Najib mampu memimpin negara… tiap kali marah kena letak jawatan, bila nak selesai  ” katanya lagi.

 

Sementara itu ahli parlimen Pendang,  Datuk Wira Othman Abdul berpendapat setiap pemimpin mempunyai visi dan dasar yang tersendiri sambil menyifatkan pandangan Tun Mahathir itu boleh diterima dan boleh juga ditolak oleh kepimpinan yang ada.

 

“Pandangan Tun itu boleh menyebabkan salah faham masyarakat maka saya harap Tun berhenti memberikan komen-komen yang boleh menjejaskan peluang UMNO untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14.

 

“Tidak perlu untuk Tun meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana beliau mendapat sokongan yang kuat daripada kepimpinan UMNO di bahagian-bahagian dan Barisan Nasional” ujarnya.

 

Beliau turut merasakan pandangan Tun Mahathir itu bersifat serangan peribadi kepada Najib.

 

“Serangan-serangan bersifat peribadi itu tidak patut kerana Datuk Seri Najib telahpun bersumpah laknat di dalam masjid di Permatang Pauh semata-mata untuk menyatakan kebenaran malah kes tersebut telah diputuskan oleh mahkamah.

 

“Saya pernah mengambil bahagian di dalam Dewan Rakyat semasa zaman Tun dahulu semata-mata untuk mempertahankan keputusan Tun sehingga menyebabkan negara kerugian disebabkan IMF (yang berjumlah) 1.5 billion (pada masa itu).

 

“Saya masih ingat, kami (ahli parlimen Barisan Nasional) terpaksa bercakap untuk mempertahankan kerajaan disebabkan pembentangan kertas putih oleh YB Lim Kit Siang… yang lain-lain itu rasanya tidak perlu untuk kita bongkar (kesilapan Tun) kerana banyak benda yang telah beliau lakukan pada ketika itu” ujarnya lagi.

 

Menurutnya ada juga kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh beliau kerana masih ada banyak rekod tertentu kalau mahu didedahkan.

 

Terdahulu ketika menjawab persoalan peserta dalam sebuah forum di Cyberjaya, Tun Mahathir mendakwa dirinya tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sepanjang memegang jawatan sebagai perdana menteri‎.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.