Sengaja Naik Harga 1 Sen Pun Boleh Didakwa

PUTRAJAYA – Peniaga yang sengaja menaikkan harga barang susulan pelaksanaan GST boleh dikenakan tindakan walaupun jumlah kenaikan harga kecil, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad.

 

Beliau mengulas aduan disalurkan pengguna kepada Sinar Harian mengenai harga barang yang sudah termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum ini dikekalkan peniaga yang kemudian menambah kadar enam peratus GST, sekali gus meningkatkan harga barang dan membebankan pengguna.

 

“Prinsipnya jelas, kalau barang itu ada SST (sebelum ini), kalau kadar SST lebih daripada GST, barang akan turun harga. Kalau SST (sebelum ini) lebih rendah daripada GST, harga akan diseimbangkan dengan enam peratus GST.

 

“Sekiranya peniaga naikkan harga lebih daripada yang patut dikenakan, kita akan lihat sama ada peniaga mencatut atau tidak. Apabila berlaku kenaikan begini kita kena lihat banyak perkara, kita tak menghukum secara tidak adil.

 

“Kenaikan harga mungkin boleh berlaku akibat macam-macam sebab jadi peniaga perlu tunjukkan sebab kenaikan harga itu. Kalau untuk mengambil keuntungan, peniaga naik satu sen pun kita boleh dakwa di bawah undang-undang, kerana peniaga dikira mencatut (mengambil untung berlebihan),” tegas Alias pada sidang media mengenai GST, semalam.

 

Alias berkata, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, peniaga diwajibkan menyimpan dokumen dan invois berkaitan jual beli selama tujuh tahun untuk dijadikan bahan bukti terhadap siasatan KPDNKK.

 

Sistem cukai SST yang diguna kerajaan sejak 1972 sebelum ini mengenakan kadar cukai berbeza mengikut jenis barang, contohnya kadar lima peratus bagi makanan segera, minuman dan produk tenusu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.