Nahas Helikopter: Anak Menangis Cari Bapa

KOTA KINABALU – “Anak saya menangis sepanjang masa selain memanggil nama suami dan saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan apa yang berlaku,” kata isteri Koperal Razkan Seran, Seti Nurafenie Andu, 30.

 

Dia turut bersedih melihat kelakuan anak sulungnya itu sepanjang penerbangan membawa pulang jenazah suaminya ke kampung halaman untuk dikebumikan.

 

Seti berkata, anak sulung mereka, Nuraqilah Darwisyah baru berusia enam tahun dan pasti tidak memahami kejadian menimpa bapanya.

 

“Anak bongsu kami, Ahmad Qais juga seperti ‘mencari’ kelibat ayahnya dan tidak henti menangis sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

 

“Saya cuba menenangkan mereka, tetapi kedua-duanya tetap menangis seperti turut meratapi pemergian suami walaupun masih tidak memahami apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Terdahulu, pengawal peribadi kepada Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Koperal Razkan Seran, 31, terbunuh apabila pesawat dinaiki mereka terhempas dalam kejadian di Semenyih, Sabtu lalu.

 

Jenazah anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu dibawa pulang ke kampung halaman isterinya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Damit, Tuaran, pada jam 11.20 malam kelmarin.

 

“Kini saya perlu fokus menjaga kedua-dua anak kami supaya mampu membesar dengan sempurna.

 

“Arwah suami juga pernah berpesan supaya memberi sepenuh kasih sayang dan didikan kepada mereka berdua,” katanya.

 

Sementara itu, Seti mengakui akan kembali semula ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan urusan arwah selain merancang berpindah ke kampungnya di Tuaran.

 

“Sebaik majlis kenduri selesai, saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk mengemas barang dan tinggal di kampung.

 

“Saya reda dengan kejadian menimpa dan akan memastikan nasib anak kami terbela,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.